SPRM: Rujuk lembaga disiplin Umno dulu
Segala "tohmahan" berkaitan pemilihan Umno patut disalurkan kepada lembaga disiplin parti itu terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata timbalan ketua pesuruhjayanya.
Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, sekiranya Lembaga Disiplin mendapati tohmahan itu mempunyai bukti rasuah, perkara itu boleh dirujuk kepada SPRM untuk tindakan mengikut undang-undang.
"Berdasarkan pengalaman lalu maklumat yang dirujuk kepada SPRM lebih kepada perlanggaran kod etika parti. Oleh itu amatlah wajar perkara ini diteliti oleh jawatankuasa disiplin parti masing-masing," kata Mohd Shukri.
Dalam kenyataannya hari ini, SPRM juga menegaskan bahawa perkara itu tidak tertakluk kepada Umno semata-mata tetapi juga turut merangkumi pemilihan parti-parti politik lain di Malaysia.
Mohd Shukri berkata, pihaknya juga tidak pernah membuat kenyataan tidak menyiasat aduan berkaitan politik wang dalam kemeriahan pemilihan Umno sekarang, seperti dilaporkan media.
SPRM sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya itu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyemak dan menapis aduan-aduan melibatkan politik wang terlebih dahulu.
Justeru, sekiranya ada bukti unsur rasuah, jawatankuasa disiplin boleh merujuk kepada SPRM untuk diambil tindakan yang sewajarnya mengikut skop Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

