Umat Islam kena berani pertahan korban
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah tindakan ibu bapa Hindu yang mempersoalkan majlis korban sembelih lembu yang didakwa berlaku di beberapa buah sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu.
Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya (kiri) berkata umat Islam selaku penduduk majoriti negara ini perlu lebih berani dan tidak tunduk kepada tekanan yang mempertikaikan amalan agama mereka.
"Poinnya di sini, kenapa kita kena tunduk dengan tekanan daripada dia. Makna kita macam tidak ada jati diri. Ini negara kita dan ini negara Islamik.
"Kita nak buat itu (korban), siapa peduli? Sedangkan India di negara kita ini berapa peratus? Satu atau dua peratus sahaja.
"Kita ini lebih enam puluh peratus tetapi bak kata orang putih, we don't have the balls... untuk mempertahankan benda yang asas begini," katanya sewaktu bercakap pada satu forum di Kuala Lumpur pagi tadi.
'Suka hati kitalah'
Beliau merujuk kepada aduan segelintir ibu bapa yang menganggap amalan menyembelih lembu di kawasan sekolah tidak mengambil kira sensitiviti penganut agama lain yang menganggap lembu sebagai haiwan suci agama mereka.
Bercakap lanjut, beliau turut mengingatkan umat Islam agar tidak mudah goyah dengan persoalan membabitkan amalan-amalan asas dalam agama Islam.
"Saya nampak apabila umat Islam ini ditekan seperti itu kita dah menggelabah.
"Orang kita terpaksa toleransi dalam perkara-perkara fundamental yang kita tak sepatutnya bertoleransi.
"Kenapa kita perlu tunduk patuh kepada desakan dia.
"Suka hati kitalah," katanya sewaktu diminta menjelaskan kenyataannya dalam forum itu pada sidang media kemudiannya.
Forum anjuran ISMA bertajuk 'Ancaman liberalisasi' itu turut dihadiri Penolong Pengarah Akidah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Azam Mas'od.

