Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertahan kewujudan 230 tahun kain tenun Pekan

Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan bakal melahirkan lebih banyak penenun berkemahiran pada masa hadapan bagi memastikan produk itu tidak pupus.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah kain tenun Pahang yang wujud sejak 230 tahun di bumi Pekan, perlu terus dihidupkan kerana produk itu semakin mendapat tempat di hati orang ramai.

"Saya berharap industri penghasilan Tenun Pahang Diraja akan terus berkembang maju dengan adanya institut kemahiran ini yang bakal melahirkan lebih ramai penenun dalam kalangan anak tempatan," titahnya dalam majlis perasmian Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Kompleks Budaya Pulau Keladi di Pekan, semalam.

Pembinaan institut itu diilhamkan oleh Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk melahirkan lebih ramai tenaga terlatih dalam perusahaan Tenun Pahang Diraja.

Institut yang dibina di atas kawasan seluas 1.6 hektar itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Pembinaannya bermula pada 26 Feb 2008 dan siap sepenuhnya pada 12 April 2010.

Institut itu merupakan pusat latihan pertama menawarkan pengajian dalam bidang kraf Tenun Pahang Diraja secara formal selama dua tahun di peringkat sijil.

Kurikulum dan modul sijil yang dilaksanakan adalah selari dengan kurikulum dan modul sijil tenunan di Institut Kraf Negara yang merangkumi semua aspek pembuatan Tenun Pahang Diraja termasuk subjek akademik iaitu bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Keusahawanan.

"Dengan penubuhan institut ini kita yakin matlamat untuk membangun dan memelihara industri tenun khususnya Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan warisan yang berpotensi besar dapat dicapai.

"Usaha mempromosi produk ini perlu dipertingkat lagi bagi mengangkatnya ke persada dunia oleh setiap daripada kita, kalau bukan kita sendiri yang memakainya untuk mempromosikannya, siapa lagi nak pakai," titah Tengku Abdullah.

Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja kepada 44 penerima yang terdiri daripada graduan dan tenaga pengajar institut tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS