P'raya kampus USM guna sistem elektronik
Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Prof Adnan Hussein berkata kampus itu akan menggunakan pengiraan undi elektronik bagi proses penjumlahan undi dalam pemilihan majlis perwakilan pelajarnya, hujung bulan ini.
Adnan berkata, sistem “E-Kira” yang julung kali diperkenalkan dalam pilihan raya kampus tersebut kali ini bertujuan untuk memastikan ketelusan dan ketepatan semasa proses pengiraan undi dijalankan.
Ia juga dapat menjimatkan masa kerana proses penjumlahan dengan sistem E-Kira itu hanya akan mengambil masa selama tiga jam, katanya yang bertindak sebagai pengerusi Urusetia Pemilihan Siswa.
Tambahnya, proses tersebut akan melibatkan kertas undi berkomputer (OMR) yang akan dijumlahkan secara elektronik.
"Sistem ini akan melalui beberapa peringkat sebelum kertas OMR itu dimasukkan ke dalam E-Kira. Kertas OMR akan disusun terlebih dahulu untuk mengasingkan kertas-kertas yang rosak sebelum diimbas oleh sistem.
"Selain itu, sistem ini juga akan menolak mana-mana kertas undi yang tidak mematuhi syarat-syarat pemilihan," jelasnya dalam satu sidang media di USM hari ini.
Keutuhan dan integriti sistem tersebut diselia oleh jawatankuasa khas – terdiri dari pakar bidang sains komputer dan perundangan yang dibentuk oleh Majlis Perwakilan Siswa, katanya lagi.
Pertandingan di USM pada 24 Oktober ini melibatkan 68 orang calon yang bakal merebut 27 kerusi pusat pengajian.
Seramai 17 lagi calon akan merebut tiga kerusi umum – 13 bagi kerusi Kampus Induk, dua calon di Kampus Kesihatan dan dua lagi bagi kerusi Kampus Kejuruteraan.

