Mahfuz: Jamil Khir tiada di rumah masa bapanya berdoa
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mendoakan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil N20 Sungai Limau.
Menurutnya, Jamil Khir tiada di rumah sewaktu lawatan itu berlangsung.
"Dia tak ada dalam itu. Dia bukan ada pun dalam (lawatan) itu.
"Dia bukan hadir pun masa bapa dia tadah tangan berdoa itu," katanya sewaktu diminta mengulas kontroversi lawatan itu.
Menurutnya lagi, beliau cukup mengenali Baharom Ramli, 77 tahun, yang telah lama bergiat dengan PAS.
"Saya faham dia ahli PAS, dia mengaku dia bayar yuran, cukuplah setakat itu.
"Tak apalah Datuk Jamil kata saya tak betul tak apa, tapi saya faham bapa dia sebab saya lama dengan bapa dia.
"Saya faham bapa dia kerana bapa dia itu jiwanya PAS, original PAS," kata Mahfuz lagi.
Beliau bagaimana pun berharap perbezaan politik dalam keluarga Jamil Khir tidak menjadi isu besar buat Jamil sepanjang kempen pilihan raya kecil Sungai Limau berlangsung.
"Tak apalah, biarlah. Saya tak mahulah mengheret perbalahan keluarga mereka," katanya ringkas.
Jamil Khir semalam mendakwa bapanya hanya sekadar mengaminkan doa yang dibaca PAS sewaktu mereka menziarahi bapanya di rumah mereka di Kampung Sedaka, Yan.
Dakwanya lagi, bapanya kini tertekan secara moral apabila ziarah itu dijadikan modal kempen PAS dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

