Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang menambah bilangan pegawai penguatkuasa sebagai persediaan menjelang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015.

NONEMenteri berkenaan Datuk Hasan Malek (kanan) berkata langkah itu akan dibuat secara berperingkat bagi memantau peniaga yang mungkin mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

"Dari segi pegawai pemantau kami sudah buat temuduga, saya ingat dalam masa terdekat pertambahan pegawai akan berlaku.

"Angka bilangan pegawai baharu ini kami sedang runding dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), sekarang cuma kekosongan ada 170 orang, tetapi bergantung kepada kelulusan JPA untuk tambahan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Usahawan Sohowanita (Kuala Lumpur) Berhad (Koop SohoWanita) di Kuala Lumpur semalam.

Hasan berkata kementerian kini mempunyai lebih 3,000 pegawai penguatkuasa.

Sementara itu, Hasan berkata setakat ini terdapat 10,000 koperasi di seluruh negara yang mempunyai nilai aset sebanyak RM106 bilion.

Sehubungan itu, beliau meminta agar koperasi sedia ada itu berusaha memantapkan lagi kekuatan koperasi masing-masing dari segi anggota dan pengurusan.

"Kami harap sumbangan koperasi kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) akan bertambah selepas ini," katanya.

Koop SohoWanita itu dilancarkan bertujuan memperkasa ekonomi wanita Bumiputera daripada kalangan ibu tunggal, suri rumah, remaja wanita termasuk lepasan institut pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

- Bernama