Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN  Secara sedar atau tidak, kerajaan hari ini ke arah untuk memperkenalkan beberapa dasar dalam Modul Ekonomi Baru (MEB).

Ia bagi menggantikan beberapa dasar ekonomi sedia ada seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memastikan dasar fiskal negara terus relevan dan memenuhi tuntutan zaman.

Beberapa pendekatan baru yang akan diperkenalkan ini pada hakikatnya bertujuan untuk mengurangkan defisit belanjawan negara yang kini berada pada tahap paling tinggi sejak 20 tahun kebelakangan ini.

Ini dilihat amat bertepatan dengan ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mengurangkan defisit negara sebaik saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu.

Mengambil contoh cukai barangan dan perkhidmatan (GST), ia dirancang semenjak tahun 1989 lagi bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (STT) mulai 2011.

Menerusi pelaksanaan GST ini, ia dijangka akan mendatangkan pendapatan sekitar RM8.8 bilion setiap tahun kepada negara.

Namun, pelaksanaan dasar percukaian baru ini dilihat amat dipengaruhi oleh situasi ketidakstabilan politik semasa.

Rang undang-undang GST sendiri ditangguhkan bacaan kedua di Parlimen pada sesi Mac/April 2010 memandangkan terdapat suara dari beberapa pihak yang terus membantah pelaksanaan cukai ini.

Dan berdasarkan perkembangan tersebut, GST tidak diperkenalkan sehingga ke tarikh pilihan raya umum ke-13.

Dalam pada itu, fenomena ini juga boleh dilihat menerusi tindakan kerajaan yang menangguhkan pengumuman tarif elektrik baru dan menarik balik rancangan untuk menghentikan atau mengurangkan subsidi petrol kepada rakyat secara umum.

Menurut Penasihat Kastam Datuk Zaleha Hamzah, GST adalah cukai penggunaan yang kesannya akan dirasai oleh kita apabila menggunakan sesuatu barangan.

Indeks Harga Pengguna

Secara mudah, GST tidak beza dengan sistem cukai bertingkat yang peringkat awalnya akan dikenakan kepada pengilang sesuatu produk.

Ia secara tidak langsung akan disalurkan oleh pengilang menerusi caj yang ditetapkan kepada pemborong.

Kemudian, pemborong pula akan menyalurkan bebanan GST ini kepada peruncit dan jumlah GST yang terakhir akan disalurkan kepada harga pengguna.

Sementara itu, beberapa mekanisme GST sedang dikaji bagi memastikan sistem cukai yang akan dilaksanakan ini benar-benar adil.

Menurut Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Abd. Aziz Abu Bakar, sebanyak 60 peratus daripada kategori barang keperluan yang diguna oleh mereka yang berpendapatan rendah seperti produk pertanian serta makanan asas akan dikecualikan dari sistem ini bagi memastikannya tidak membebankan rakyat.

Namun, sebaliknya 20 peratus barang yang dikategorikan sebagai barang mewah yang digunakan oleh golongan yang berpendapatan tinggi akan dikenakan cukai GST.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain pula,dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai.

Maka, menurut beliau lagi, pelaksanaan GST akan memberi kesan kepada penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menurunkan perbelanjaan isi rumah.

Ini ekoran jumlah cukai yang dikenakan menerusi GST adalah jauh lebih rendah dibandingkan dengan STT sedia ada.

Ini dapat dilihat apabila kerajaan pada 2010 memutuskan untuk mengenakan jumlah 4 peratus untuk cukai GST dibandingkan 5 peratus cukai jualan dan 10 peratus cukai perkhidmatan dalam STT.

Bagaimana pun kadar peratusan cukai GST dinaikkan kepada 6 peratus berkuatkuasa April 2015.

Contoh dari 146 negara

Berhubung mekanisme yang dikenakan ke atas peruncit, kerajaan akan menggunakan sistem "trash hole" yang meletakkan had jumlah barangan tertentu yang melayakkan seseorang itu dikenakan GST.

Ini bermaksud, jika seseorang peniaga menawarkan barangan tidak melebihi had tertentu dalam jangka masa tertentu, peniaga terbabit tidak akan dikenakan GST. Seterusnya tidak wajar cukai tersebut dikenakan peruncit kepada pengguna lain.

Sementara itu, sistem GST ini juga dilaksanakan oleh 146 negara di seluruh dunia dan seluruh nagara ASEAN melainkan Brunei dan Myanmar.

Maka, Malaysia berpeluang untuk menjadikan negara-negara berkenaan sebagai contoh dan modul bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan.

Namun, beberapa pertimbangan perlu diambil kira bagi memastikan mekanisme GST ini tidak tersasar dari matlamat asal serta tidak memberi kesan inflasi kepada negara.

Maka, untuk itu, kerajaan seharusnya memberi pengecualian cukai-cukai tertentu seperti eksais dan sebagainya kepada syarikat kecil dan sederhana pada peringkat permulaan pelaksanaan GST ini.

Ini bagi mengelakkan bebanan besar yang terpaksa ditanggung mereka ekoran faktor modal mereka yang masih belum bersedia dengan sistem cukai baru ini.

Sementara itu, mekanisme yang terbaik bagi memastikan ketelusan sistem cukai ini juga seharusnya diperkenalkan.

Ini memandangkan bagi sesuatu sistem cukai, kos bagi mekanisme yang digunakan untuk mengelakkan pemalsuan dan penyalahgunaan pelaksanaan adalah terlalu tinggi.

Justeru, ia akhirnya akan dilihat berlawanan dengan matlamat asal untuk mengurangkan defisit negara bilamana berlaku peningkatan kos lain yang terpaksa ditanggung kerajaan.

Selain itu, usaha untuk menggubal satu akta undang-undang untuk menyekat pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga menerusi caj yang dikenakan kepada pembeli tidak seharusnya dipandang remeh.

Peningkatan kadar

Kita menyambut baik usaha kerajaan yang meluluskan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) direalisasikan.

Berhubung dengan jumlah caj yang dikenakan, pihak kerajaan harus memastikan mekanisme pelaksanaan benar-benar membawa kebaikan kepada negara tanpa perlu meningkatkan jumlah caj GST dari semasa ke semasa.

Meskipun GST telah dilaksanakan sejumlah negara tetapi tarif cukainya tetap meningkat dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, GST diperkenalkan di Singapura pada 1 April 1994 dengan kadar 3 peratus. Namun, menjelang 1 Januari 2003, kadar tarif meningkat kepada 4 dan kemudiannya 5 peratus pada 1 Januari 2004.

Dan yang terkini 7 peratus semenjak 1 Julai 2007.

Perkara yang sama juga berlaku kepada negara-negara lain termasuk New Zealand dari 10 peratus pada Oktober 1986 kepada 12. peratus pada Jun 1989 dan 15 peratus pada May 2010.

Di Malaysia pada Mac 2010, kerajaan menetapkan kadar cukai GST 4 peratus. Namun, hari ini meningkat kepada 6 peratus berkuat kuasa April 2015.

Lantaran itu, kita seharusnya bersama-sama mengkaji dan meneliti dasar ini untuk memastikan kadar tarif 6 peratus ini kekal dan tidak sama sekali meningkat dari semasa ke semasa.

Sementara itu, beberapa mekanisme lain seperti bentuk pemberian insentif kerajaan juga harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan bagi memastikan negara kita ini tidak diselubungi masalah inflasi.

Menurut teori pakar ekonomi Islam Ibn Khaldun, apabila subsidi diberikan menerusi pengecualian atau pengurangan cukai, maka perbelanjaan rakyat akan meningkat.

Sumber pendapatan kerajaan juga akan turut meningkat secara tidak langsung tanpa bergantung kepada jumlah cukai yang dikutip kerajaan.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ setiausaha agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

ADS