Seorang penulis akhbar harian berbahasa Cina hari ini berkata Parti KeADILan Nasional sewajarnya lebih memahami penyokongnya dan tidak harus terlalu sensitif terhadap tindakan kempen "bertafakur seketika" yang dilancarkan beberapa laman web reformasi.

Penulis kanan Sin Chew Jit Poh , James Wong Wing On dalam kolumnya berkata, KeADILan harus ingat bahawa parti itu didukung oleh rakyat dalam gerakan sosial dan pemimpinnya tidak harus memberikan imej kepada rakyat bahawa mereka "berada di kedudukan yang tinggi".

"Mereka (pemimpin KeADILan) seharusnya lebih empati untuk memahami perasaan beribu-ribu rakyat yang telah mengambil bahagian dalam demonstrasi," kata Wong.

Katanya, semasa KeADILan sedang melicinkan sebuah pergerakan massa, pemimpinnya harus menjaga sikap dan pertuturan mereka dengan rakyat, bersedia menerima pandangan sama ada disalurkan melalui cara yang "tidak sempurna atau sempurna".

"Sikap dan nada Timbalan Presiden Dr. Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir apabila membalas kritikan pengendali web perlulah dikaji semula," tambah Wong.

Sementara itu, sebuah tapak web, [#1] Komentar[/#]

, yang menyertai kempen tersebut menuduh Chandra menggunakan Presiden Dr Wan Azizah Ismail untuk menyelamatkan beliau.

Chandra yang didesak meletakkan jawatan minggu lalu didakwa menggunakan mesej emelnya semalam untuk berbuat demikian.

"Chandra Muzaffar terpaksa berselindung di belakang Datin Presiden (Dr Wan Azizah) demi mendapatkan sokongan," kata Komentar sebaik sahaja membuka capaian pagi ini.

Pengendali web itu mendakwa tindakan Chandra itu dianggap tidak profesional dalam menangani teguran dan kritikan.

Dalam kenyataan akhbar Azizah yang dikirim melalui alamat emel Chandra kepada media, dan juga pengendali web Komentar semalam, Presiden parti itu berkata: "Pemimpin KeADILan termasuk Dr Chandra dan (Setiausaha Agung) Anuar Tahir telah diberi mandat dan wajar diberi sokongan."

Sementara itu, kenyataan dua perenggan itu tidak mengandungi penghargaan Azizah terhadap sumbangan laman-laman web seperti yang terkandung dalam satu [#2] kenyataan[/#]

lagi yang dipaparkan pada web parti itu.

"Kita tetap menghargai peranan dan sumbangan laman-laman web yang sekian lama memperjuangkan cita-cita pergerakan reformasi untuk mewujudkan masyarakat yang adil lagi telus," kata Azizah dalam kenyataan bertajuk 'Berdiri teguh menghadapi cabaran Teluk Kemang.'

"Kita harap pengurus-pengurus laman web yang masih mendukung reformasi tetap akan bersama-sama dalam perjuangan."

Bagaimanapun, mengikut sumber yang rapat dengan Dr. Chandra, emel itu memang dikeluarkan oleh Azizah sebagai kenyataan akhbar yang rasmi, sementara kenyataan di laman web rasmi KeADILan itu adalah untuk rujukan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, dua laman web reformasi yang sudah lama tidak aktif akan beroperasi semula. [#3] Mahafiraun 2020[/#]

yang turut serta dalam kempen tafakur minggu lepas telah memulakan capaian ke laman itu pada awal pagi hari ini. Sementara itu [#4] Reformasi Nasional[/#] yang tidak beroperasi sejak sebelum pilihan raya November lalu akan kembali aktif mulai Khamis ini.