Jamil: Perubahan kepimpinan Jerai tak jejas kempen di Sg Limau
Perubahan dalam kepimpinan Umno Bahagian Jerai tidak memberi kesan kepada kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.
Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertandingan merebut jawatan ketua bahagian itu pada 19 November lepas tidak menimbulkan perpecahan dalam Umno bahagian itu.
Katanya dalam pertandingan itu, beliau dan bekas ketua bahagian Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang ketika itu penyandang jawatan tidak berkempen, sebaliknya kedua-dua mereka sibuk dengan urusan yang lebih penting.
"Sebenarnya begini, uniknya di Jerai ada pertandingan bahagian tetapi
kedua-dua yang bertanding (Jamil Khir dan Mohd Suhaimi) tidak berkempen. Ini uniknya, yang seorang (beliau sendiri) ke Makkah bertugas mengatur urusan haji dan balik pada malam hari pengundian, maksudnya tak sempat berkempen.
"Lagi seorang pula (penyandang) Ketua Bahagian (Mohd Suhaimi) yang ada di sini, tak ke Makkah, duduk sini pun sibuk dengan menubuhkan jentera bagi menghadapi PRK, jadi kedua-dua tak sempat kempen," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama
masyarakat di Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai G-IV, di Yan hari ini.
Dalam pemilihan jawatan itu, Jamil Khir yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Anggota Parlimen Jerai mendapat 490 undi, menewaskan Mohd Suhaimi yang hanya meraih 270 undi.
Semalam, Mohd Suhaimi menafikan desas-desus wujudnya perpecahan di bahagian itu berikutan kekalahan beliau kepada Jamil Khir, dan menegaskan tidak wujud sebarang pertelingkahan, malah mereka bekerjasama baik dalam menggerakkan jentera kempen PRK DUN Sungai Limau.
Sementara itu, Jamil Khir berkata beliau berpuas hati dengan jentera BN bagi kempen PRK DUN Sungai Limau yang sehingga hari ini berjaya menemui hampir kesemua pengundi di DUN berkenaan.
Menyifatkan jentera itu kini berada pada gear kemuncak dengan kempen berbaki tiga hari lagi, beliau berkata daripada laporan diterima, kebanyakan pengundi dilaporkan memberi respons yang amat baik.
"Bahkan ramai pengundi muda terutamanya nampak begitu memahami kehendak dan aspirasi kerajaan begitu juga dengan pengundi berumur yang mengatakan kali ini undi dia akan bagi kepada BN," katanya.
Jamil Khir berkata jentera BN akan meneruskan usaha menemui baki pengundi yang ada yang mungkin tercicir daripada perhatian mereka.
- Bernama

