Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Satu pusat yang dapat menyediakan maklumat lengkap dan sahih termasuk rekod jenayah lampau seseorang perlu diwujudkan ketika proses pengambilan pekerja.

Menyuarakan cadangan itu, Timbalan Presiden Persatuan Prihatin Masyarakat Jenayah dan Keselamatan Malaysia (MCCCS) Datuk Othman Talib berkata pusat itu penting bagi memastikan rekod pekerja yang ingin diambil bersih sekaligus dapat mengelak sebarang masalah di kemudian hari.

Beliau berkata selain itu, kewujudan pusat itu juga dapat mempercepatkan proses pengambilan seseorang pekerja.

"Dalam hal pengambilan pengawal keselamatan misalnya, memang pengusaha syarikat akan menghantar salinan kad pengenalan bakal pekerjanya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum disemak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pemeriksaan rekod jenayah.

"Sistem kerajaan sudah canggih. Namun jika prosedur itu lemah iaitu dengan hanya mengggunakan salinan kad pengenalan, proses penapisan itu dijalankan tanpa melihat kad pengenalan asal pekerja itu. Ini membuka ruang kepada salah guna sistem sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Pulau Pinang berkata lebih malang, apabila JPN yang mengesahkan nama seseorang itu terdapat dalam pangkalan data dan jabatan itu akan terus menghantar nama tersebut untuk semakan KDN tanpa meneliti ketulenan kad pengenalan yang digunakan.

Katanya apabila butiran diri seseorang itu tiba kepada KDN, tentulah tiada rekod jenayah dikenalpasti kerana mungkin salinan kad pengenalan yang digunakan itu palsu dan menggunakan identiti orang lain.

"Jadi kerajaan perlulah meneliti kelemahan ini dan memperbaiki sistem yang digunakan sekarang. Contohnya dengan kewujudan pusat ini, pekerja yang bakal bekerja di semua sektor di negara kita benar-benar berkualiti," katanya.

Pengerusi Special Skill Security Services Sdn ini berkata dengan adanya pusat itu kelak, ia dapat memudahkan pengusaha yang ingin mengambil pekerja apabila mereka diminta membawa kad pengenalan asli pekerja untuk disemak kakitangan JPN dan KDN yang terdapat di pusat itu.

"Kewujudan pusat itu juga mampu mempercepatkan proses pengambilan pekerja berbanding sekarang, di mana tempoh antara tiga hingga enam bulan terpaksa ditunggu pengusaha syarikat bagi mengetahui sama ada seseorang itu boleh diambil bekerja atau sebaliknya," katanya.

Bersetuju dengan cadangan Othman itu, Pengarah Urusan Paradise Security Services Sdn Bhd, Mohamad Nasim Jabir berkata pengusaha syarikat kawalan keselamatan sepertinya tidak mempunyai akses lain untuk mengenalpasti identiti pengawal keselamatan yang ingin diambil mereka.

"Tempoh menunggu sehingga enam bulan itu terlalu lama bagi kami. Ada juga kemungkinan dengan tempoh masa yang lama ini, mengundang padah apabila pengusaha syarikat kawalan keselamatan terpaksa menggaji pekerja yang tidak diketahui kesahihan identitinya," katanya.

Kes pengawal keselamatan terlibat dalam jenayah seperti yang berlaku kebelakangan ini, memfokuskan tentang kad pengenalan yang dimiliki mereka kerana siasatan polis mendapati ia palsu dan menggunakan identiti orang lain.

Dalam masa sebulan, dua kes membabitkan pengawal keselamatan dilaporkan iaitu dalam kejadian apabila pegawai Ambank cawangan Subang Jaya maut ditembak dengan 'pump gun' oleh pengawal keselamatan bank itu yang mahu merompak bank tersebut pada 23 Okt lepas.

Selang dua minggu selepas kejadian itu, seorang pengawal keselamatan yang lengkap beruniform bertindak mengacukan senjata api ke arah empat pekerja premis sebuah kedai emas, sebelum suspek membawa lari 100 utas rantai di pusat beli-belah KL Festival, Setapak yang juga premis tempat dia bekerja.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS