Meja bulat Asia sediakan platform perubahan pendidikan
Mesyuarat Meja Bulat Asia ke-3 di kalangan presiden dan naib canselor universiti pendidikan merupakan platform bagi menampilkan peranan dalam pembangunan negara-negara berdaulat menerusi pelaksanaan perubahan dalam pendidikan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata mesyuarat sehari itu anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyediakan pentas bagi semua pihak berkenaan melibatkan diri dalam dialog bermanfaat bukan saja mengenai isu, pencapaian dan cabaran semasa tetapi juga peluang yang wujud di hadapan.
"Saya percaya tema 'Memperkasa perubahan dalam Pendidikan' adalah tepat dalam menangani perubahan transformasi di sektor pendidikan seantero dunia," kata beliau ketika menutup mesyuarat itu di Kuala Lumpur malam tadi.
Mesyuarat itu dihadiri oleh presiden dan naib canselor dari 15 universiti dari lapan negara Asia termasuk Malaysia, China, Filipina, Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
Dr Zaini berkata, bidang utama dalam memperkasa perubahan dalam pendidikan seperti penyusunan semula kurikulum, pembelajaran pelajar dan perancangan tenaga kerja bagi menangani isu pendidikan mampan boleh dibincangkan secara ekstensif di kalangan universiti pendidikan.
- Bernama

