'Malangnya hanya berapa kerat siswa AS di universiti kita'
Dengan universiti yang mantap di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah tiba masanya pelajar Amerika menganggap negara Asia Tenggara sebagai destinasi untuk menimba ilmu dan penyelidikan.
Malaysia, katanya, tidak sepatutnya diletakkan dalam kategori terpencil dalam destinasi untuk menuntut ilmu di seberang laut sebaliknya disenaraikan sebagai negara pilihan untuk tujuan itu.
"Malangnya, kami hanya mempunyai beberapa kerat pelajar Amerika di universiti-universiti kami. Kami mempunyai ramai penuntut dari China, Afrika, Asia Tengah dan Timur Tengah yang belajar di universiti-universiti kami tetapi (penuntut) dari Eropah dan Amerika hampir tidak mencukupi," katanya.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam ucaptama apabila melancarkan Program Outreach Malaysia@ Ohio University (OU): Meraikan Lima Dekad Kerjasama Strategik di kampus OU di Athens, Ohio pada Selasa.
Selain menempatkan universiti-universiti yang diberi nilai oleh pelbagai ranking antarabangsa dan senarai kedudukan, beliau berkata Malaysia mempunyai begitu banyak untuk ditawarkan dalam bidang-bidang seperti penyakit tropika, perubatan komplimentari dan biodiversiti.
Dalam ucapannya yang bertemakan 'Pendidikan Tinggi Malaysia dalam Abad ke-21', Muhyiddin berkata pengamal pendidikan dan pemimpin kerajaan di seluruh dunia mengiktiraf impak dengan mempunyai pelajar antarabangsa dalam kampus masing-masing kerana ini akan membawa kepada persenyawaan silang idea dan pemikiran.
Beliau menganggap ini akan menjurus kepada pemerkayaan dan pengukuhan dalam pelbagai bidang akademik termasuk kualiti dan kepelbagaian anggota fakulti, hasil penyelidikan yang meluas dan mendalam, penghargaan yang lebih dekat dan pemahaman isu-isu silang budaya.
Muhyiddin menyampaikan ucaptamanya di hadapan audiens termasuk Presiden OU Dr Roderick J. McDavis dan pemimpin utama lain universiti itu.
Mengulas mengenai mobiliti pelajar, Muhyiddin berkata pada masa ini terdapat 6,900 pelajar Malaysia di universiti-universiti seluruh Amerika.
Sambil menegaskan bahawa Malaysia telah mengantarabangsakan 'varsityscape' begitu banyak kampus Amerika sejak awal abad ke-20, beliau berkata pada tahun 80an, sesetengah universiti seperti Illinois, Indiana dan Ohio mempunyai ratusan pelajar Malaysia di kampus pada bila-bila masa.
"Kampus Illinois di Carbondale walaupun mempunyai nama jolokan 'Kampungdale' kerana semata-mata bilangan pelajar Malaysia di kampusnya. Kami mengakui keunggulan universiti anda, dengan beberapa buah daripadanya telah wujud hampir 400 tahun.
"Semata-mata bilangannya atau rakyat Malaysia yang menuntut di Amerika Syarikat menunjukkan yang Malaysia yakin dengan universiti anda selama ini," kata Muhyiddin.
Dalam ucapannya, Muhyiddin mengimbas semula sejarah hubungan OU-Malaysia, bercakap tentang maju ke hadapan dalam meningkatkan hubungan dan menawarkan pandangannya dalam sistem pendidikan Malaysia.
Beliau berkata mesyuarat penerokaan antara kumpulan profesor OU dan diplomat Malaysia yang berpangkalan di Nigeria pada 1960an membawa kepada pembangunan program perniagaan di Institut Teknologi Mara (ITM) ketika itu, kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Kakitangan Ohio University bekerja dengan ITM untuk membangunkan program dalam perniagaan, perakaunan dan komunikasi. Saya diberitahu bahawa hari ini, lebih daripada 2,400 rakyat Malaysia memegang ijazah dari Ohio University, alumni terbesar di luar negeri Ohio yang merupakan satu fenomena," kata Muhyiddin.
Menyedari OU yang telah memainkan peranan penting kepada pembangunan Malaysia, beliau berkata: "Ia sebahagian yang kita akui dengan penubuhan dua entiti di kampus ini, iaitu Kursi Tun Abdul Razak dalam Pengajian Asia Tenggara dan Pusat Sumber Malaysia di Perpustakaan Vernon R Alden."
Perpustakaan itu dinamakan sempena nama Presiden OU ke-15 yang membawa hubungan antara OU dan Malaysia pada pertengahan tahun 60an.
Dalam usaha untuk membawa hubungan OU-Malaysia ke peringkat seterusnya, Muhyiddin mencadangkan supaya fokus diberikan kepada pembangunan modal insan yang meliputi latihan rentas sempadan, program tajaan sebagai strategi penyelidikan merangkumi projek penyelidikan rentas desa, fakulti atau pertukaran kakitangan dan latihan penyelidikan pelbagai disiplin dan perkongsian maklumat.
Beliau juga menekankan keperluan untuk meningkatkan rangkaian dan sistem pembangunan merangkumi strategi dana penyelidikan serta strategi infrastruktur termasuk pelbagai pusat penyelidikan dan kerjasama antara universiti di rantau ini.
"Saya berharap perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan mungkin lebih konkrit dan cadangan terperinci boleh dibentangkan dan dikemukakan dalam pertemuan lain pada masa depan," kata Muhyiddin yang kemudiannya melawat Pusat Sumber Malaysia.
Mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan menyedari bahawa sistem pendidikan perlu memenuhi permintaan dan kekal relevan agar Malaysia tidak berisiko ketinggalan di belakang dalam kualiti modal insannya.
Turut hadir pada majlis itu isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Kuasa Usaha Sementara di kedutaan Malaysia di Washington DC Shahril Effendy Abdul Ghany, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Morshidi Sirat dan pemegang Kursi Tun Abdul Razak pada masa ini Prof Dr Habibah Ashari.
- Bernama

