Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak RM39.92 juta diperuntukkan kerajaan untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di tiga universiti awam, tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P Kamalanathan berkata dana itu disalurkan bagi membiayai Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Eksploratori (ERGS), Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS).

Sehingga 31 Okt 2013, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjana pendapatan sebanyak RM9.34 juta melalui R&D.

"Daripada jumlah itu, UM menjana RM3.156 juta, UTM RM5.39 juta dan USM RM800,000," katanya ketika menjawab Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) dalam persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Sim bertanya mengenai peruntukan kepada universiti awam yang menjalankan R&D dan pendapatan yang dijana daripada produk R&D.

Kamalanathan berkata pendapatan itu hasil daripada penjanaan produk R&D, harta intelek dan perkhidmatan.

Semasa menjawab soalan Datuk Wira Othman Abdul (BN-Pendang), Kamalanathan berkata kementerian berusaha untuk menempatkan guru tinggal bersama pasangan masing-masing.

Beliau berkata setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 94.9 peratus iaitu 142,474 guru sekolah menengah di seluruh negara tinggal bersama pasangan dan hanya 5.1 peratus (7,711) guru tinggal berasingan.

Bagi guru sekolah rendah pula, sebanyak 95.4 peratus iaitu 190,252 guru tinggal bersama pasangan dan 4.8 peratus (9,124) guru tinggal berasingan.

Kamalanathan berkata banyak permohonan yang diterima bukan untuk tinggal bersama pasangan sebaliknya mahu bertugas di kampung halaman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS