Wikileaks: M'sia antara penentang perunding TPPA AS
Satu bahagian dokumen rahsia yang didedahkan laman Wikileaks menyebut Malaysia merupakan antara negara yang menentang keras pendirian Amerika Syarikat dalam rundingan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA).
Menurut Wikileaks, yang menerbitkan sebahagian dari dokumen tersebut, sikap itu berbeza dengan negara seperti Australia menyokong para perunding AS.
“Australia adalah negara yang paling berkemungkinan menyokong pendirian tegas perunding AS ke atas negara lain, manaka negara termasuk Vietnam, Chile dan Malaysia lebih berkemungkinan untuk menentang,” kenyataan itu dipetik.
Wikileaks yang memetik dokumen rundingan pada 26 hingga 30 Ogos di Brunei itu menyebut, rundingan tersebut menjurus ke atas “implikasi meluas” dari sudut kebebasan sivil dan Internet.
Ini termasuk kemunculan semula perbincangan megenai “peruntukan pengawasan dan penguatkuasaan” yang telah dicadangkan tetapi ditangguhkan dalam perjanjian lain.
“Bahagian yang paling panjang – Penguatkuasaan – menjurus kepada langkah kepolisan baru, dengan implikasi meluas ke atas hak individu, kebebasan sivil, penerbit, penyedia khidmat Internet dan privasi Internet...”

