Seorang ibu dan anak lelakinya maut apabila rumah teres dua tingkat yang didiami lebih 10 tahun di Jalan Devadason, Taman Ipoh di Ipoh terbakar pagi ini.

    

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon 1 Perak Ruhisha Haris berkata ketika ditemui mayat si ibu Lau Yoke Yee, 75, dan anak lelakinya Stephen Loo Pei Yee, 41, telah 100 peratus melecur akibat terbakar namun tidak rentung.

    

"Mangsa pertama iaitu anak lelaki ditemui di bahagian tangga tingkat atas manakala mangsa kedua (ibu) ditemui di tepi bilik air di dalam kamar tidur utama," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di Ipoh.

    

Beliau berkata sejurus tiba pihaknya mendapati rumah berkenaan telah 90 peratus terbakar selain api di dalam rumah itu sudah berada pada tahap tiga, iaitu telah reda namun kebakaran masih berlaku.

    

Pihaknya juga mendapati bahagian dapur yang mempunyai sebuah bilik di rumah itu tidak terbakar dan kebakaran paling teruk didapati berlaku di bahagian tangga tingkat bawah kediaman terbabit, katanya.

    

Ruhisha berkata kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 8.35 pagi sebelum bahagian forensik jabatan itu memulakan siasatan.

    

Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan satu dari Simpang Pulai di sini dikejar ke tempat kejadian dengan 24 anggota serta tiga pegawai sebaik sahaja menerima maklumat pada 8.18 pagi, katanya.

    

Sementara itu, jiran mangsa, Wong Foo Sang, 63,  berkata beliau terdengar beberapa kali bunyi letupan sebelum menyedari rumah jirannya itu yang terletak di sebelah kiri rumahnya terbakar.

    

"Saya keluar dan melihat jiran yang tinggal di hadapan rumah menjerit

 kebakaran, saya pun sedar sudah ada asap.

    

"Si ibu mempunyai masalah untuk bergerak dan anak lelakinya (bekas pekerja bank) dipercayai mengalami kemurungan. Beliau ada lagi seorang anak lelaki yang bekerja sebagai juruterbang dan tinggal di Singapura," katanya.

- Bernama