Wanita Gerakan anjur larian '1 Am Free From Corruption'
Sayap Wanita Gerakan akan menganjurkan larian 'I Am Free From Corruption' di seluruh negara pada Februari tahun depan, sebagai langkah mempertingkat inisiatif anti-rasuahnya.
Ketuanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata larian itu, yang akan dilancar pada Januari 2014, merupakan satu daripada usaha sayap berkenaan bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai berhubung kepentingan memerangi gejala rasuah bersama-sama pihak berkuasa.
"Pada perhimpunan agung parti sebelum ini, saya secara peribadi bercakap kepada perwakilan tentang betapa pentingnya semua pihak memerangi jenayah ini. Malah saya sudah bercakap tentang perkara ini ketika menjadi ahli Parlimen sejak 2004.
"Menerusi inisiatif ini, kita harap kerajaan Persekutuan akan memandang serius isu rasuah dan orang ramai akan berganding bahu dengan pihak berkuasa bagi membanteras jenayah serius ini," katanya pada sidang akhbar di Menara PGRM hari ini.
Tan, yang dilantik semula sebagai Ketua Wanita Gerakan bagi penggal ketiga, berkata sayap itu akan menyampaikan jemputan rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merasmikan acara itu, yang ditetapkan pada 11 Januari 2014.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk entiti korporat, badan bukan kerajaan dan individu menyokong inisiatif berkenaan.
- Bernama

