PAS tubuh pasukan khas untuk licinkan hudud
PAS Kelantan menubuhkan jawatankuasa khas bagi melicinkan pelaksanaan undang-undang hudud di negeri tersebut, berkuat kuasa hari ini.
Penubuhan jawatankuasa pimpinan Datuk Ahmad Yaakob itu digerakkan melalui Lajnah Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Kelantan.
"Pasukan khas itu berfungsi untuk membantu kerajaan negeri Kelantan dalam melicinkan perlaksanaan undang-undang hudud di negeri tersebut," kata Pengerusi LUHAM Hisham Fauzi (kanan), yang turut menganggotai jawatankuasa itu.
Dalam kenyataannya hari ini, Hisham berkata, pasukan itu akan dianggotai oleh 11 orang ahli melibatkan peguam sivil dan syarie.
Hisham turut menyebut, penubuhan pasukan petugas itu menerima respon positif daripada LUHAM Pusat PAS.
Malah, tambahnya, mereka turut ditawarkan tenaga dan pendapat mereka sekiranya diperlukan.
Bahkan, katanya lagi, ia juga menerima sokongan daripada ahli Parlimen BN. Justeru, tambahnya, tiada lagi halangan terhadap perlaksanaan undang-undang hudud di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

