AirAsia: Keuntungan sebelum cukai suku-3 turun kepada RM25.11j
Keuntungan sebelum cukai AirAsia Bhd bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2013, turun kepada RM25.11 juta daripada RM259.10 juta dalam suku yang sama 2012.
Pendapatan meningkat kepada RM1.28 bilion daripada RM1.24 bilion sebelumnya.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, AirAsia berkata pendapatan yang lebih baik itu adalah hasil daripada peningkatan bilangan penumpang yang dibawa syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun, akan kembali ke Malaysia untuk memastikan syarikat itu selangkah kehadapan dengan pemegang
kepentingan tempatannya, badan-badan kerajaan dan badan atau syarikat berkaitan klia2.
"Secara keseluruhannya, saya dan Kamaruddin akan bersama-sama dengan semua CEO negara-negara masing-masing iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan India tidak lama lagi, akan memastikan nilai jenama kami, kecekapan kos, keuntungan dan prestasi operasi diselaraskan untuk berdepan dengan sebarang persaingan," katanya.
Di masa depan, Fernandes berkata kumpulan menumpukan untuk menambah baik muatan dan pendapatan bagi setiap kilometer tempat duduk dengan menawarkan tambang rendah, di samping mengurangkan kos.
- Bernama

