Portal berita The Malaysian Digest hari ini menafikan dakwaan seorang penulis blog bahawa laman itu menerima dana dari Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengarang laman tersebut Onny Izwan Nordin dengan tegas menafikan dakwaan tersebut dalam satu kenyataannya kepada Malaysiakini melalui emel.

“Kami dengan keras menafikan dakwaan yang sangat tidak munasabah dalam blog berkenaan dan tidak akan mengulas lanjut,” kata Onny dalam kenyataan itu.

Ditanya sekiranya beliau akan mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis blog tersebut, Onny dengan tegas menyatakan: “Tidak buat masa ini”.

Blog Peoples Parliament dalam satu tulisan tiga hari lalu mempersoalkan peruntukan dana melibatkan RM4 bilion dalam Bajet 2014.

Tulisan tersebut yang memetik sumber menyebut bahawa Bajet 2014 untuk JPM itu membiaya pelbagai portal berita untuk menyebar propaganda pro-BN dan memberi contoh The Malaysian Digest yang menerima bantuan RM200,000 sebulan.

Blog tersebut turut mendakwa bahawa individu yang menjalankan operasi The Malaysian Digest ialah anak saudara kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Onn Hafiz Ghazi.

[Baca berita penuh]