ADUN Sungai Panjang Budiman Mohd Zuhdi mempersoalkan kemesraan kerajaan Selangor dalam tindakan ke atas rakyat negeri itu yang didakwa terpaksa menanggung kompaun, premium tanah dan cukai pintu yang tinggi.

“Bagaimanakah seorang makcik yang menjaja nasi lemak dikompaunkan sebanyak RM1,000? Kalau benar penjaja ini tiada lesen, mengapa tiada kaedah kesedaran diberikan kepada penjaja-penjaja kecil ini terlebih dahulu?’’

“Bukan itu saja berlaku di Sungai Panjang, begitu ramai (penduduk) mengadu-adu kepada saya bahawa peningkatan cukai pintu.

"Sama ada apa yang disebut nanti, bukan cukai yang naik tetapi kaedah menilai cukai tersebut,” katanya

Beliau mendakwa beberapa orang pengundi di kawasannya juga dikenakan dikenakan premium tanah begitu tinggi RM28,437 untuk 457 meter persegi tanah untuk rumah mereka.

Katanya lagi, terdapat juga jes pengendali perniagaan karaoke yang dikenakan denda sebanyak RM50,000 sedangkan pengusaha tersebut hanya mengenakan bayaran RM1 untuk setiap lagu.

 “Episod-episod ini sangat menyedihkan rakyat sebab itu apabila perkataan kesejahteraan itu diulang-ulangkan, ia menimbulkan soalan, menimbulkan keraguan, menimbulkan tanda tanya (rakyat),” katanya lagi.