Menteri Besar Selangor, Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengeluarkan tawaran akhir berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli 4 buah syarikat konsesi air.

Menurut Khalid, tawaran itu tepat pada masanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah menyatakan persatuan untuk menyatukan industri air dalam surat bertarikh 19 Jun dan 9 September lalu.

"Ini juga sejajar tarikh akhir iaitu Disember 2013 untuk menyelesaikan rundingan yang ditetapkan oleh Menteri KeTTA. Kami berharap para pemegang saham syarikat-syarikat ini akan menerima tawaran yang akan memberi pulangan menguntungkan.

"Jika pemegang saham merasakan bahawa mereka berhak mendapat jumlah yang lebih, mereka boleh meminta untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa. Kami berharap boleh memecahkan kebuntuan rundingan kerana kerajaan negeri bersedia dengan rancangan pengambilalihan ini," kata Khalid.

Surat-surat tawaran dihantar pada 21 November kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan Konsortium Abbas Sdn. Bhd.

Manakala 2 lagi syarikat air yang menerima surat tawaran ini adalah Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding Bhd.

Empat buah syarikat ini diberikan masa 14 hari untuk menerima tawaran tersebut daripada tarikh surat dikeluarkan, selewat-lewatnya jam 5 petang 4 Disember nanti.

Tawaran itu sekal igus akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh 4 syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan dengan isu ini.