'Terima Shafee nafikan hak perbicaraan adil Anwar'
Keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertindak sebagai pendakwa kerajaan dalam rayuan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap menafikan hak ketua pembangkang mendapatkan perbicaraan adil.
Naib Presiden PKR N Surendran berkata, tindakan itu juga menafikan hak asasnya seperti terkandung dalam perlembagaan.
"Shafee Abdullah hadir di kediaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pengadu Saiful Azlan Bukhari bertemu Najib.
"Di samping itu, Shafee juga peguam peribadi kepada Najib dan Rosmah Mansor dan mempunyai hubungan rapat dengan Umno," kata Surendran ( kiri ).
"Dengan mengetahui permusuhan politik Najib dan Umno terhadap Anwar, bagaimana Mahkamah Pesekutuan membenarkan Shafee Abdullah mendapat pendakwa terhadap Anwar?" kata anggota Parlimen Padang Serai yang juga peguam-aktivis hak asasi manusia itu.
"Keputusan itu bertentangan dengan setiap konsep asas keadilan dalam sistem perundangan kita."
Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan ketua pembangkang daripada tuduhan liwat kedua terhadapnya.
Dengan keputusan itu, rayuan pasukan pendakwaan terhadap pembebasan Anwar akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 11 dan 12 Disember ini.

