Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenaikan gaji MB, exco, ADUN S'gor tidak wajar
Diterbitkan:  Nov 28, 2013 1:24 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Kenaikan gaji baru untuk menteri besar, exco dan ADUN di Selangor yang diumumkan Tan Sri Khalid Ibrahim semalam menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk mantan menteri besar Tan Sri Abu Hassan Omar.

Mereka menyifatkan keputusan kenaikan tersebut adalah tidak wajar dan perlu mengutamakan kepentingan rakyat, laporan Berita Harian hari ini.

Dalam laporan itu menyebut, Abu Hassan tidak melihat rasional DUN Selangor meluluskan kenaikan gaji itu kerana kerajaan Pakatan belum mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negara, masih ada kawasan belum dimajukan sepenuhnya dan ramai rakyat masih menderita.

"Sebarang kenaikan gaji dan elaun perlu ada kewajarannya. Ketika saya mentadbir Selangor saya tidak pernah menaikan gaji dan elaun Menteri Besar, exco dan ADUN.

"Kita perlu fikirkan rakyat terlebih dulu," katanya seperti yang dilaporkan akhbar itu.

Abu Hassan yang juga yang dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) berkata walaupun kerajaan negeri berhak berbuat demikian kepentingan rakyat perlu diutamakan.

Dalam laporan yang sama juga menyebut, Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman berkata kenaikan pemimpin politik di Selangor adalah tidak wajar dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

"Yang menerima kesannya adalah pekerja bawahan dan rakyat, apatah lagi kos kehidupan di negeri Selangor tinggi berbanding negeri lain. Sewajarnya mereka mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan," katanya.

Sementara Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata kenaikan melebihi 100 peratus tidak wajar meskipun kerajaan negeri mempunyai banyak wang rizab.

Menurutnya, walaupun kenaikan gaji perlu, jumlah yang keterlaluan tidak munasabah.

"Gaji kakitangan kerajaan negeri juga patut dinaikan 100 peratus. Saya yakin, kerajaan negeri mampu berbuat demikian," katanya dalam laporan harian itu.

ADS