Pro-A tersungkur di UM, merosot 6 kerusi
Kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya menang dalam pilihan raya kampus perdana itu semalam apabila berjaya mendapat 26 daripada 43 kerusi yang dipertandingkan.
Lebih manis apabila kumpulan anti golongan berkuasa itu berjaya menambah lima lagi kerusi berbanding 21 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya tahun lalu.
Pro-M menguasai tujuh daripada sembilan kerusi umum dan bakinya dikuasai kumpulan Penggerak Mahasiswa (pro-Aspirasi).
Sementara itu, pencapaian kumpulan Aspirasi merosot enam kerusi selepas hanya memenanginya 14 kerusi dalam pilihan raya kampus itu kali ini.
Manakala calon bebas pula menang tiga kerusi - menambah satu kerusi berbanding tahun lalu.
"Pro-M semakin mendapat sokongan dan kepercayaan mahasiswa. Dan kesedaran turun mengundi semakin meningkat iaitu sebanyak 70.11 peratus.
"Peratusan keluar mengundi yang paling tinggi dalam (tempoh) lima tahun," kata Pengerusi pro-M Nasional Edikoup Lakip Sediyanto (gambar atas, kanan sekali) .
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan menjadikan kemenangan itu sebagai platform untuk membawa suara, agenda dan harapan mahasiswa ke peringkat nasional.

