Lembah Bujang: Exco Kedah belum terima maklumat
Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Kedah, Aminuddin Omar berkata beliau belum mendapat sebarang maklumat tentang dakwaan pemusnahan tapak arkeologi kurun kelapan di Lembah Bujang.
"Saya tak dapat maklumat terkini dan terawal tentang perkara ini. Apabila saya dapat nanti barulah saya boleh berikan ulasan," katanya yang juga ADUN Jitra sewaktu dihubungi Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal FreeMalaysiaToday yang mendakwa tindakan pemaju memusnahkan Candi Sungai Batu untuk projek perumahan mereka.
Laporan itu dibangkitkan oleh NGO yang dikenali sebagai Bujang Valley Study Circle, yang menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menghalang pemaju daripada terus memusnahkan kawasan itu.
Pengerusinya, V Nadarajan mendakwa beberapa kuil di kawasan itu termasuklah saki baki Candi Sungai Batu yang telah dibina pada kurun kelapan telah dimusnahkan.
Menurutnya, kuil itu yang juga dikenali sebagai tapak 11 merupakan satu tarikan pelancong yang amat terkenal di kawasan Lembah Bujang.
Kerajaan pada tahun 2011 memberi jaminan akan membeli tanah di sekitar Lembah Bujang bagi mengelakkan pembangunan perumahan dan tanah.
Jaminan itu diberikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'cruz dalam Dewan Negara.

