Setiausaha DAP Cawangan Taman Chai Leng, Samsher Singh meminta Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun mohon maaf secara terus kepada pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang digelarnya 'kucing kurap'.

Beliau berkata tindakan itu bagi membuktikan beliau benar-benar ikhlas memohon maaf dan bukannya atas desakan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh.

"Adalah baik juga jika dia (Ooi) boleh mohon maaf terus kepada MPPP, jika tidak pihak media akan kata dia mohon maaf hanya untuk jaga hati Karpal sahaja," katanya pada sesi perbahasan Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang dihadiri 689 perwakilan di Georgetown hari ini.

Terdahulu, anggota Parlimen Jelutong itu membuat permohonan maaf secara terbuka selepas diminta berbuat demikian oleh Karpal Singh, bagaimanapun Ooi berkata tiada siapa boleh menyuruhnya memohon maaf kecuali Karpal Singh.

Pada 24 Nov lepas Ooi mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada kepada beberapa  pegawai MPPP pada 16 Nov kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai  kedudukan penjaja di Jelutong selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.

Selain itu, Samsher turut mendakwa berlaku unsur nepotisme dan kronisme dalam DAP.

Seorang lagi perwakilan, Desa Darus daripada DAP Nibong Tebal menegur sikap segelintir anggota parti itu yang semakin kurang berdisiplin setelah berjaya menguasai Pulau Pinang buat kali kedua.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini