Mahathir keluar Peronas ekoran faktor usia
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas dengan alasan sudah tua.
Mahathir berkata sudah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.
"Saya ambil jawatan itu sepuluh tahun lalu, sekarang saya sudah sepuluh tahun lebih tua. Saya hanya boleh keluar negara sebulan sekali.
"Saya perlu tidur lebih banyak," kata beliau dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menyifatkan Petronas kini sebuah syarikat yang baik dan memberi manfaat kepada negara dan kerajaan.
"Petronas berjalan baik, untung banyak dan bagi duit kepada kerajaan pun banyak.
Beliau turut melahirkan perasaan terima kasih kepada syarikat gergasi itu kerana memberi peluang kepada bumiputera dan negara dalam mengembangkan perniagaan.
"Petronas bagi peluang kepada (anak saya) Mokhzani bin Mahathir, puas hati dah saya.
"Saya turut menyokong usahawan kecil," kata beliau secara berseloroh.
Mahathir bagaimanapun menyatakan beliau masih mengekalkan jawatan sebagai penasihat Proton yang dimiliki DRB-Hicom.

