Audit: Projek bina sekolah di S'wak tak memuaskan
Pembinaan beberapa bangunan sekolah di Sarawak didapati tidak memuaskan kerana sebanyak 38 dari 56 projek bernilai RM1.054 bilion tidak disiapkan mengikut masa ditetapkan antara 2008 dan 2012.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 juga mendapati, hanya 18 buah sekolah disiapkan dan diserahkan kepada jabatan pendidikan negeri, namun projek itu juga mengalami kelewatan antara 389 hingga 870 hari dari tarikh yang sepatutnya.
Kontrak bagi sekolah yang sedang dibina pada 31 Disember 2012 dinilaikan pada RM620.94 juta. Projek tersebut juga merekodkan kelewatan antara 219 hingga 909 hari.
Ketua Audit Negara menyebut, projek berkenaan dianugerahkan melalui tender terbuka, tender terhad dan rundingan terus.
“Daripada 16 projek yang dilawati, satu projek adalah mengikut jadual, lapan projek lewat jadual dan tujuh projek telah ditamatkan kontrak.
“Baki lapan projek yang lewat jadual, tujuh projek telah ditamatkan kontrak atau dalam proses penamatan kontrak manakala satu projek iaitu SK Pusat Lawas, Lawas sedang dalam proses menyelesaikan kerja tertunggak.
“Sehingga kini, pihak Kementerian masih dalam proses melantik kontraktor penyiap bagi 7 kontrak yang telah ditamatkan,” laporan itu dipetik.
Laporan itu juga mendapati tahap penyeliaan juga tidak memuaskan, selain mutu binaan yang rendah.
Punca kelewatan termasuk kegagalan menjalankan kajian tanah, kedudukan kewangan sesetengah kontraktor yang diragui, dan masalah mendapatkan bahawa binaan dan juga pekerja.
Ia menyebut, kajian tanah tidak dijalankan di SK Long Sukang dan satu kejadian tanah runtuh turut berlaku di tapak binaan terbabit.
Di SMK Sebauh, Bintulu pula, hakisan tanah menyebabkan kerosakan di struktur bangunan terbabit.
Laporan itu juga mendapati keadaan fizikal struktur yang dibina tidak menggambarkan perbelanjaan yang dibuat.

