Ramai pihak melihat langkah memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam perlembagaan dapat memelihara akidah umat Islam di negara itu.

Namun, bagi seorang perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pemuda Umno, ia lebih dari itu.

Perwakilan Terengganu Azizul Jasmi Mohammad turut melihatnya sebagai serampang dua mata, iaitu untuk menambahkan sokongan orang Melayu di negeri Pantai Timur yang kuat diasak pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika membentangkan usul isu, beliau berhujah, ini kerana ramai orang Terengganu mahukan ia berlaku bagi membendung penularan fahaman Syiah daripada berkembang.

NONE "Terengganu mahu mengusulkan kita tafsir kembali, definisikan kembali perkataan Islam dalam perlembagaan dan pohon Islam ditafsir ikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Fahaman Syiah amat bahaya kepada golongan Muslim negara ini, oleh itu kita mesti mendefinasikan Islam dalam fahaman Ahli Sunnah Wal Jammah agar mereka yang beriman tahu perkara ini haram," kata beliau dalam membahaskan ucapan dasar ketua pemuda Umno hari ini.

Terengganu, sebuah negeri majoriti Melayu, antara negeri BN yang hampir-hampir dirampas Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

BN hanya di depan dengan kelebihan dua kerusi Dewan Undangan Negeri.

Azizul sebelum itu mengusulkan agar definisi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditetapkan kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, selari dengan cadangan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Beliau berhujah, definisi Islam dalam perlembagaan persekutuan kini terlalu longgar dan turut meletakkan golongan Syiah sebagai umat Islam negara ini.

Beliau juga berkata walaupun pindaan perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga, beliau berharap wakil rakyat PAS dan PKR yang beragama Islam menyokongnya.

'Terima kasih Zahid yang keras'

Selain itu Azizul turut memberi sokongan penuh kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi ( bawah ) yang menurutnya 'keras dan tegas' dalam menangani ancaman musuh Islam.

NONE "Di dalam Internet bermacam-macam ragam manusia, segelintir manusia bukan Islam, menghina Islam, hina Nabi Muhammad dan keluar kenyataan terus terang hina agama Islam.

"Kita desak mereka ini kenakan hukuman dan pergerakan Pemuda akan pertahankan kerajaan yang tentang musuh-musuh Islam.

Yakin kementerian berkaitan dengan isu ini dapat ambil tindakan tegas," kata beliau.