Cadangan wanita muda sertai Puteri secara automatik
Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsuddin mengajak wanita muda menyertai pergerakan itu bagi memperkukuh iltizam, melonjak martabat, mengangkat maruah dan kedudukan mereka dalam pembangunan bangsa serta negara.
Beliau berkata perjuangan Puteri Umno adalah untuk wanita muda terutama Melayu Islam namun tidak pernah melupakan atau mengabaikan golongan itu dari kaum dan agama lain.
"Pergerakan Puteri untuk kita dan Biro Sahabat Puteri pula untuk semua," katanya ketika menggulung perbahasan usul pada Perhimpunan Agung Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Penubuhan Biro Sahabat Puteri bertujuan menarik sokongan orang muda tanpa mengira jantina dan kaum serta badan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa.
Menyentuh cadangan perwakilan yang mahu keanggotaan wanita muda ke dalam Pergerakan Puteri dibuat secara automatik, Mas Ermieyati berkata ia merupakan satu idea bernas selaras dengan usaha memperkasa dan meremajakan parti.
Mas Ermieyati, yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah, berkata menerusi cadangan itu, seseorang wanita berumur 18 hingga 35 tahun secara automatik menjadi anggota Puteri dan tidak perlu pilihan sama ada menyertai pergerakan berkenaan atau Wanita Umno.
"Puteri mahu dilihat lebih terbuka dan inklusif kepada remaja berumur 18 tahun dan ke atas kerana inilah maksud sebenar konsep peremajaan Umno yang diuar-uarkan oleh semua," katanya.
Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata kecemerlangan dan kejayaan yang dilakar Puteri sejak penubuhannya pada 2001 menyebabkan pergerakan berkenaan dicemburui pembangkang.
"Malah pembangkang nak tubuhkan pergerakan macam Puteri Umno tapi tak mampu juga nak lawan apa yang Puteri lakukan," katanya dalam ucapan penangguhan perhimpunan itu.
Beliau turut menggesa anggota Puteri agar tidak hanya menjadi 'pemerhati' dalam apa jua program yang diperkenal atau dilaksana kerajaan sebaliknya perlu bersama-sama menjadi pemain.
'Kecuali bahan binaan dari GST'
Sementara itu, Puteri Umno Kedah mahu kerajaan mengecualikan bahan binaan daripada dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Naib Ketua Puteri Umno Kedah Suriati Che Mid berkata langkah itu bagi mengelakkan kenaikan harga rumah yang melampau.
"Sekiranya memang tergolong dalam senarai barangan yang tidak dikenakan GST sudah tentu amat baik sekali," katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Ketua Puteri Umno dalam perhimpunan agung sayap itu, hari ini.
Pelaksanaan GST sebanyak 6 peratus bermula April 2015 diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober lepas.
Suriati juga menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mencatat keuntungan agar menyumbang zakat perniagaan untuk membantu rakyat memperbaiki rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan kawasan perumahan baru.
"Usaha ini tidak harus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata," katanya sambil menyarankan lebih banyak skim bantuan disediakan untuk golongan muda terutama di bandar, memiliki rumah.
Suriati juga meminta kerajaan menyediakan jaringan Internet percuma di seluruh negara dan mempercepatkan pelaksanaan e-mel 1Malaysia.
"Kerajaan perlu mengutamakan masyarakat luar bandar dengan memperluaskan jaringan Internet di kawasan luar bandar bagi memberi input yang lebih cepat dan supaya mereka tidak ketinggalan mengikut trend terkini di media sosial," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bukit Bendera Siti Mariam Majid mencadangkan satu pelan tindakan diwujudkan bagi membantu peniaga kecil-kecilan dengan mereka yang layak diberi elaun sara hidup RM200 sebulan seperti yang dinikmati nelayan.
Beliau juga mencadangkan agar peniaga sambilan seperti peniaga dalam talian dibantu dari segi modal untuk membesarkan perniagaan.
Sementara itu, biarpun sibuk dengan Perhimpunan Agung Umno 2013, kecaknaan Ketua Puteri yang baharu Mas Ermieyati Samsudin terzahir apabila beliau mengarahkan jentera pergerakan itu turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Pahang.
Banjir: Puteri sumbang RM50,000
Meluahkan kebimbangan dengan keadaan masyarakat yang ditimpa bencana itu, beliau berkata Puteri akan menghulur bantuan segera berbentuk wang tunai berjumlah RM50,000 daripada RM131,988 yang dikumpul melalui Tabung Prihatin Puteri.
"Kita sangat bersimpati dengan kejadian itu dan bantuan berbentuk wang tunai yang disumbang Puteri adalah bagi membolehkan mangsa membeli apa sahaja keperluan.
"Walaupun ada beberapa perwakilan Pahang yang terpaksa berada di persidangan ini tetapi kita mempunyai ramai lagi jentera di negeri itu dan telah meminta mereka segera turun padang sedaya upaya menghulurkan bantuan sewajarnya," katanya kepada Bernama hari ini.
Mas Ermieyati berkata beliau juga mendapat laporan berhubung situasi banjir yang kini melanda beberapa negeri lain dan akan segera menggerakkan jentera pergerakan itu berdasarkan situasi semasa.
Ketua Puteri Temerloh Suhaya Elly Rosli berkata beliau kini menunggu cawangan pergerakan itu di bahagiannya untuk melaporkan jumlah pusat pemindahan banjir yang dibuka.
"Kami akan memberi sumbangan dalam bentuk barang keperluan seperti lampin pakai buang, makanan dan pelbagai keperluan lagi," katanya.
Suhaya Elly berkata situasi di Pahang dimaklumkan kepadanya oleh saudara mara kerana beliau berada di Kuala Lumpur sejak Isnin lepas.
Setakat petang ini, keadaan banjir di Pahang semakin buruk dan menyaksikan semakin ramai mangsa dipindah ke pusat pemindahan berikutan hujan lebat tidak henti-henti sejak beberapa hari lalu.
Menurut laporan Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, sehingga 11 pagi, sebanyak 11,721 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Jerantut.
Puteri K'tan bersiap sedia
Sementara itu, Ketua Puteri Pasir Puteh Marshela Ali berkata walaupun keadaan banjir di Kelantan tidak seteruk di Pahang, beliau sudah mengarahkan jentera pergerakan itu melakukan persiapan sewajarnya.
Ia termasuk memujuk orang ramai yang tinggal berhampiran sungai untuk segera berpindah, jika air mulai naik.
"Berdasarkan pengalaman lalu, jika hujan berterusan beberapa hari tanpa henti, Pasir Puteh akan dilanda banjir dan sebagai langkah awal saya telah
meminta Naib Puteri bahagian iaiatu Norhayati Rain pulang serta memantau keadaan semasa," katanya.
Sehingga 4 petang, banjir yang melanda Kelantan menyebabkan 436 orang di jajahan Kuala Krai terpaksa dipindah ke pusat pemindahan.
- Bernama

