Elektrik: 'Jangan bergantung pada satu syarikat saja'
Pasaran pembekalan tenaga eletrik di Semenanjung Malaysia perlu dibuka kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta atau kerajaan negeri bagi mengelak kebergantungan kepada hanya satu syarikat.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kedah Mahathir Hamid berkata kewujudan lebih banyak syarikat dalam sektor itu akan membawa kepada lebih banyak persaingan, seterusnya membolehkan penawaran harga lebih baik.
Beliau berkata jika ini tidak dapat dilaksana, kerajaan perlu, antara lain, memperkasa kaedah memajukan sektor tenaga boleh diperbaharui termasuk memberi rebet dalam penggunaan tenaga solar.
"Kita percaya kerajaan boleh mempertimbang cadangan ini dengan sebaiknya, bukan mempertimbang cadangan menaikkan tarif elektrik," katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih bagi ucapan dasar ketua Pemuda di Perhimpunan Agung Umno 2013 hari ini.
Mahathir berkata beliau yakin kerajaan negeri mampu mengendali pembekalan tenaga elektrik sendiri dengan kos lebih berpatutan seperti yang dipraktik di Sabah dan Sarawak.
Isnin lepas, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuatkuasa 1 Jan 2014.
Membahaskan usul sama, Pergerakan Pemuda Wilayah Persekutuan menyarankan agar GLC, yang kebanyakannya berpusat di Kuala Lumpur, memainkan peranan aktif dalam membantu membasmi kemiskinan Melayu di bandar, terutama ibu kota.
Wakilnya, Ketua Pemuda Batu Gulam Muszahar Gulam Mustakin berkata peranan GLC kini lari daripada objektif penubuhannya iaitu, antara lain, mencipta ruang ekonomi bagi golongan bumiputera.
"GLC perlu mengubah strategi dan berfikiran dinamik, bertindak dengan terbuka, tanpa rasa takut dan 'apologetic' atau berselindung dengan bangsa lain, dalam membasmi kemiskinan Melayu bandar," katanya.
Pemuda Umno Kelantan pula mencadangkan penubuhan sekretariat latihan industri Pemuda yang bertujuan, antara lain, mencetus peluang latihan di GLC bagi mahasiswa bumiputera cemerlang.
"Kita berharap GLC dapat membuka pintunya lebih luas kepada anak muda mahupun mahasiswa yang baru melangkah keluar dari menara gading," kata Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohammad Azam Ismail.
Sementra itu, Ketua Pemuda Negeri Sembilan Mohd Aizil Md Derus mahu dibanyakkan lagi rumah mampu milik di bandar dan luar bandar merupakan antara perkara yang banyak disentuh semasa perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Beliau berharap skim perumahan dan pinjaman bersesuaian diperkenalkan di kampung-kampung tradisional seiring dengan Skim Rumah Pertamaku serta Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diperkenalkan di bandar.
Beliau berkata walaupun kebanyakan anak muda akan berhijrah ke bandar bagi mencari rezeki, namun terdapat juga golongan muda yang masih kekal di kampung tradisional dan meneruskan kegiatan ekonomi warisan keluarga.
"Apabila mereka ini berkeluarga, timbul masalah untuk memiliki rumah. Maka amat bersesuaianlah satu projek perumahan serta skim pinjaman bersesuaian dengan kemampuan mereka ini diwujudkan di kawasan kampung tradisional," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda pada perhimpunan itu.
Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohammad Azam Ismail pula mencadangkan Syarikat Perumahan Negara Berhad fokus membina kemudahan perumahan di luar bandar manakala PR1MA di bandar.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Ranau Faez Ainstein Nordin memohon kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mengekang kenaikan harga rumah yang semakin melampau.
"Di Sabah purata harga sebuah rumah RM380,000... langsung tak masuk akal, bagaimana rakyat berpendatan rendah, sederhana nak miliki rumah malah kebanyakan mantan Ketua Pemuda Sabah pun tidak ada rumah sendiri," katanya.
- Bernama

