Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik Prof Dr Abdul Hamid Adom dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkuatkuasa 1 Disember.

    

Menurut kenyataan UniMAP hari ini, anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 42 tahun itu dilantik menggantikan Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang kini Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

    

Abdul Hamid ketika ditemui berkata beliau berazam untuk menyemarakkan kegiatan penyelidikan UniMAP bukan sahaja di peringkat universiti malah di persada antarabangsa.

    

"Saya juga berhasrat untuk mempertingkat kualiti pengurusan penyelidikan serta memudahcara pelaksanaan setiap projek bagi melonjakkan nama UniMAP ke tahap lebih tinggi," katanya yang akan memegang tugas bahru itu selama tempoh tiga tahun.

    

Beliau mula berkhidmat di UniMAP pada 1 Disember 2004 sebagai pensyarah di PPK Mekatronik sebelum dilantik sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar PPK pada tahun 2005 dan dilantik Dekan PPK Mekatronik pada 2007.

    

Abdul Hamid yang memiliki PhD dalam bidang kejuruteraan sistem elektronik dari Liverpool John Moores University, United Kingdom dilantik menjadi anggota senat universiti sejak 2005.

    

Sebelum berkhidmat di UniMAP, beliau merupakan Ketua Program Matematik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Malaysia (USM).

- Bernama