PAS menggesa kerajaan mengisytiharkan kawasan dilanda banjir besar, terutamanya di di Kuantan, Pahang dan Kemaman, Terengganu "kawasan bencana" bagi memudahkan proses menyelamat dan bantuan.

NONE Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( kiri ) berkata, pengisytiharan di kawasan banjir terburuk dalam sejarah negeri masing-masing itu membolehkan penghantaran bekalan makanan, pakaian dan air dilakukan dengan segera tanpa kerenah birokrasi.

Katanya, bencana banjir itu perlu diangkat sebagai perkara yang sangat perlu disegerakan penyelesaiannya di peringkat nasional.

"Sehubungan dengan itu, PAS menyeru kepada pihak kerajaan yang mempunyai dana khusus ini supaya dapat lebih proaktif dan segera bertindak bagi membantu rakyat kita yang dilanda bencana ini," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Hadi juga mengkritik kelambatan dan kekurangan kelengkapan menyelamatkan sejak dua hari lalu sehingga ia disuarakan oleh petugas agensi kerajaan sendiri.

Beliau juga berkata, bencana yang tidak tidak mengenal parti politik, usia dan status masyarakat itu sungguh menyentuh perasaannya.

NONE "Hati saya sungguh tersentuh melihat anak-anak kecil yang menangis kelaparan, ibu yang memandang dengan hampa, mangsa yang menggigil kesejukan tanpa pakaian dan selimut dan sebagainya," katanya.

Katanya, PAS menerusi pelbagai jenteranya dikerah untuk membantu dengan sepenuh tenaga, walaupun berdepan dengan berbagai kekurangan.

"Tetapi keperluan asas masih sangat tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang dilanda musibah ini.

"Ketiadaan bekalan air bersih ini akan menyebabkan wabak lain yang melanda sebaik sahaja air mula surut nanti," kata anggota Parlimen Marang itu.