Selepas insiden runtuhan demi runtuhan siling di Hospital Serdang, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, beliau dinasihatkan memilih hospital lain untuk melahirkan anak keduanya.

Teo (bawah), sebelum ini wakil rakyat Serdang, melahirkan anak sulungnya di hospital itu pada Ogos tahun lalu dan memilih hospital sama untuk anak keduanya, dijadual awal Februari depan.

teo nie ching and jinggo gan baby"Saya melahirkan anak perempuan saya di Hospital Serdang tahun lalu dan berasa kagum serta berterima kasih atas sikap profesional dan mesra kakitangan hospital.

"Kerana itu, saya merancang untuk kembali ke hospital ini untuk melahirkan anak kedua. Bagaimanapun, kini, saya dinasihatkan rakan-rakan dan pengguna Internet untuk menimbang semula keputusan ini."

"Walaupun saya mempunyai pilihan untuk pergi ke hospital lain untuk mengelakkan risiko (runtuh), soalan yang lebih penting ialah siapa yang boleh beri jaminan keselamatan dan kesejahteraan kakitangan hospital dan keluarga mereka yang bekerja dan tinggal di Hospital Serdang ini," katanya.

Teo bagaimanapun berkata, kakitangan serta keluarga mereka yang berkhidmat lebih penting kerana perkara itu sudah berlarutan bertahun-tahun.

Janji manis menteri

Penolong setiausaha publisiti DAP itu juga mempersoalkan janji manis yang diberikan oleh menteri kesihatan sejak bertahun-tahun lalu berhubung insiden itu.

"Sebenarnya selepas setiap insiden, menteri-menteri kesihatan (sejak zaman Datuk Seri Liow Tiong Lai sehingga Datuk Seri S Subramaniam) semua berjanji akan memeriksa struktur, mencari punca (runtuh) bla, bla, bla, tetapi nampak seperti tiada tindakan sebenar yang diambil dan itulah sebabnya siling nampak amat tidak stabil sekarang," katanya dalam SMS kepada Malaysiakini.

NONEDalam kenyataannya hari ini, Teo mahu kerajaan mendedah nama kontraktor bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyeliaan siling di hospital itu, selepas tujuh kali runtuh.

Beliau juga mahu menteri kesihatan sekarang, Subramaniam meletak jawatan kerana insiden pada 9 Disember lalu ialah yang keempat di sejak beliau menjawat jawatan menteri.

"Bila siling di wad bersalin Hospital Serdang runtuh pada 30 September lalu, saya mendesak Subramaniam untuk beri jaminan insiden tersebut tidak akan berulang dan beliau perlu letak jawatan jika kejadian tersebut berulang kali keempat.

"Beliau (Subramaniam) tidak berani untuk menjawab ketika itu dan menunjukkan walaupun tidak memiliki keupayaan dan kebijaksanaan untuk menjawat jawatan menteri, beliau tidak bodoh.

"Jika beliau menerima cabaran saya ketika itu, beliau sudah meletakkan jawatan, bukan sekali dua, tetapi tiga kali dalam tempoh dua bulan setengah!"

Kakitangan enggan mengulas

September lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang menanti laporan berkenaan kejadian siling runtuh di Hospital Serdang dan mungkin mendakwa kontraktor berkenaan ke mahkamah.

NONEDalam tempoh tiga tahun terakhir, Hospital Serdang menjadi buah mulut orang ramai setelah berlaku runtuhan di lobi utama (dua kali), jabatan kecemasan dan unit rawatan rapi bayi serta kuarters kakitangan.

Dalam kejadian terkini kelmarin, musibah terkini berlaku di kuarters kakitangan hospital di Blok D (kiri) Hospital Serdang, yang hampir-hampir mencederakan seorang isteri kakitangan dan empat anak mereka.

Pengunjung di situ kini rata-rata bimbangkan keselamatan diri dan sanak saudara yang mendapatkan perkhidmatan di sana.

Bagaimanapun kakitangan hospital yang ditemui Malaysiakini semalam enggan mengulas berhubung insiden itu.