Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berpandangan faktor sebenar ketidakbolehpasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual, bukan kerana tidak mampu berkomunikasi atau masalah penguasaan bahasa Inggeris.

"Tidak semua mereka yang pintar boleh mempunyai kemampuan orator yang mengesankan. Akan tetapi tidak siapa boleh menafikan bahawa tahap intelektual yang rendah adalah penyebab utama graduan tidak boleh ke hadapan," katanya.

Beliau berucap dalam majlis 'An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations' anjuran Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC) Universiti Utara Malaysia (UUM) di Petaling Jaya malam tadi.

Kamalanathan juga menolak pandangan yang mengaitkan isu ketidakbolehpasaran graduan itu dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang melibatkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.

"Oleh itu, isu bukan bermula di IPT, dan amatlah tidak wajar untuk  IPT dibebankan dengan anggapan bahawa mereka boleh melahirkan manusia yang  unggul dalam hanya tiga tahun," katanya.

"Universiti bukan hadir untuk membangunkan graduan-graduan untuk  kepentingan industri dan ekonomi semata-mata. Ia mempunyai tanggungjawab lebih besar, iaitu membangunkan bangsa," katanya lagi.

Dalam majlis itu Kamalanathan turut menyaksikan pertukaran dokumen  memorandum persefahaman antara UUM yang diwakili oleh Naib Canselornya  Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dan wakil 14 syarikat untuk kerjasama dalam pembangunan sumber manusia.

- Bernama