Pengusaha: Ada kumpulan sekat bas ke Pontianak
Beberapa pengusaha bas ekspres tempatan ke Pontianak, Indonesia di Kuching menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan ke destinasi itu selepas mendakwa bas mereka ditahan di negara jiran dan diarah menyerahkan wang.
Tinjauan Bernama di Kuching Sentral mendapati empat syarikat bas ekspres tempatan (Sri Merah-Borneo Highway Express, Eva Express, Bintang Jaya Express dan Biaramas Express) serta dua syarikat dari Indonesia (Damri Bus Express dan SJS Express) menawarkan perjalanan ke Pontianak.
Pegawai pemasaran jualan Sri Merah-Borneo Highway Express, Fong Soon Fook, yang mengesahkan perkara berkenaan berkata bas mereka ditahan di negara jiran itu.
"Bas kami ditahan di pertengahan jalan oleh kumpulan tertentu, sebelum mereka meminta wang daripada pemandu dan penumpang dari Malaysia. Mahu tidak mahu terpaksa bayar, sebelum meneruskan perjalanan," katanya kepada Bernama.
Pekerja Biaramasa Express, Aniline Libeg, 25, berkata bas syarikat itu hanya berjaya sampai ke sempadan Tebedu, sebelum kembali ke Kuching.
"Dalam tempoh empat hari ini, bas hanya boleh sampai ke sempadan Tebedu, sebelum dinasihati 'rakan-rakan' kita di sebelah sana supaya tidak meneruskan perjalanan, kemudian van dari Pontianak, mengambil dan membawa penumpang ke lokasi (Pontianak).
"Pihak syarikat tidak mahu memperjudikan nasib pemandu, jadi ikut sahaja apa yang dinasihatkan itu," kata Aniline.
Bagaimanapun difahamkan syarikat bas dari Indonesia, SJS Express tidak menghadapi masalah gangguan itu.
Penjaga kaunter syarikat itu yang hanya ingin dikenali sebagai Sue, 29, berkata bas mereka sama ada dari Kuching ke Pontianak atau dari Pontianak ke Kuching tidak menghadapi sebarang masalah atau perkhidmatan mereka diganggu mana-mana pihak sepanjang perjalanan itu.
Apabila ditanya punca masalah itu, Fong berkata ia mungkin disebabkan insiden membabitkan dua warga Indonesia di Bintulu dan Betong baru-baru ini.
"Kejadian warga Indonesia ditembak mati polis kerana mengamuk serta mayat pekerja Indonesia yang mati dalam kejadian kebakaran di Bintulu dipulangkan kepada keluarga mereka tanpa organ dalaman, dipercayai menimbulkan kemarahan orang di sebelah sana," katanya.
- Bernama

