Presiden baharu MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini mengulangi kesediaannya untuk membawa perubahan dan pembaharuan secara inklusif dan kolektif kepada parti itu.

Beliau turut menggesa semua barisan kepimpinan tertinggi, perwakilan dan anggota parti agar kembali sebagai satu pasukan utuh, bagi menjayakan program transformasi serta mengembalikan era kegemilangan parti itu.

Perasaan dengki, iri hati dan dendam perlu dikikis, tegas Liow.

"Kita mesti buktikan bahawa MCA memang relevan dan mampu membawa perubahan yang besar dalam hidup kaum Cina dan masyarakat lain.

"Tiada lagi kem Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan kem Liow selepas ini. Buanglah segala persepsi itu. Marilah kita bangkit dengan kuat dan kukuh sebagai satu pasukan yang bersatu-padu," katanya ketika sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 di Wisma MCA, hari ini.

Menyentuh perancangan jangka pendek dan panjang, Liow berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk merangka serta menggerakkan agenda pembangunan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat akan diadakan secepat mungkin bagi membincangkan isu berbangkit.

- Bernama