Utusan: Kalimah 'Allah' diguna dalam acara 'gospel'
Satu laporan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan tindakan penganjur satu acara bukan Islam yang menggunakan kalimah 'Allah' dalam satu program di sebuah hotel di Klang semalam.
Laporan itu menyebut, latar belakang di pentas acara yang dihadiri 200 orang tersebut menonjolkan tulisan “International Full Gospel fellowship Allah Satelit Nilai dan Satelit Puchong”.
Menurut laporan tersebut, notis acara berkenaan berbeza dengan perkara yang dinyatakan di latar belakang pentas tersebut.
Acara yang berlangsung antara jam 1 petang hingga 6 petang itu juga diisi dengan nyanyian lagu memuji agama dan senikata lagu itu turut menggunakan kalimah “Allah”.
Laporan itu juga menyebut, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada bulan lalu mengeluarkan titah bahawa penganut agama lain tidak dibenarkan mengguna kalimah “Allah”.
Larangan itu terkandung dalam Seksyen 9 dalam Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1998, yang digubal selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, lapor Utusan .

