Pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar berkata penangkapan beliau sebelum ini cuba mengalih fokus masyarakat daripada masalah sebenar yang berlaku di negara ini.

Menurut beliau, tuduhan perhimpunan TURUN dan “Gerakan 31 Disember” cuba mengadakan menggulingkan kerajaan pada malam tahun baru ini tidak tepat dan memberi maklumat salah kepada masyarakat.

"Mereka (polis) cuba untuk alih fokus (dari masalah sebenar). Ia (himpunan) bukan untuk gulingkan kerajaan. Kami protes kenaikan harga barang, bukan nak gulingkan kerajaan.

"(Pada) 31 (Disember) ini, kami hanya nak berhimpun secara aman, kami tak buat provokasi, kami tak minta kerajaan digulingkan," kata beliau dalam temuramah dengan Malaysiakini hari ini.

Azan ditangkap menjelang tengah malam 23 Disember lalu bawah Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman. berkaitan perhimpunan malam tahun baru ini.

Azan menceritakan pengalaman selama lebih 20 jam ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan memuji polis yang tidak menggunakan keganasan.

"Saya ditangkap oleh polis D9, yang selalunya melakukan 'tangkapan khas' kes jenayah.

"Soal siasat tak lama hanya dua jam sahaja cuma saya dimasukkan ke lokap dan dibiarkan untuk tempoh lama," kata beliau.

'Risiko memang ada'

Beliau turun berkata pengalaman ini bagaimanapun tidak mematahkan semangat beliau dalam memperjuangkan gerakan ini.

"Risiko memang ada, tapi kita tak boleh fikirkan risiko sangat untuk memperjuangkan hak kita semua,' ujarnya.

Polis kini sedang mengesan saki baki kumpulan yang mempromosi perhimpunan pada 31 Disember.

Semalam, polis telah menangkap seorang remaja yang disyaki mengajak orang ramai menggulingkan kerajaan persekutuan pada malam tahun baru.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kebangsaan, Datuk Hadi Ho Abdullah, suspek yang menggunakan akaun Facebook di bawah nama Asmaelz Hadzeny II ditangkap pada jam 11 pagi ini di Saratok, Sarawak.

"Suspek ini akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Polis telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen," kata Hadi dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia

Polis mengunjungi rumah aktivis Badrul Hisham Shahrin di Seremban pada 24 Disember dipercayai ekoran penganjuran himpunan membantah kenaikan harga barang di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.