BERITA Malaysiakini

Rahim Ghouse nafi tulis surat isu 'letupan'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Bekas exco Pemuda Umno Pulau Pinang, Abdul Rahim Ghouse menafikan bahawa beliau menulis surat kepada pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berhubung kejadian letupan yang didakwa akan berlaku semasa perhimpunan pada malam sambutan ambang tahun baru 31 Disember.

Abdul Rahim yang dipetik dalam laporan Mingguan Malaysia berkata, surat yang tersebar melalui emel itu bukan ditulis oleh beliau.

“Saya menafikan perkara ini kerana surat itu, bukan saya yang tulis. Ada orang buat surat itu menggunakan nama saya.

“Mereka menulis surat seperti itu untuk agenda mereka, tetapi mahu melibatkan saya,” lapor akhbar milik Umno tersebut.

Ia seterusnya menyebut, Abdul Rahim dalam surat tersebut meminta Rafizi serta barisan pemimpin Pakatan mengelak lima lokasi atas sebab keselamatan - persimpangan Sogo, Puduraya, bulatan KTM dekat Masjid Negara, stesen LRT Masjid Jamek dan stesen komuter Masjid Negara.

Polis memanggil Rafizi untuk siasatan berhubung dakwaan dalam emel tersebut di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi pagi ini.