Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata kerajaan BN sehingga kini masih enggan mengakui kesan serius kenaikan harga barang selepas perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2015.

Menurutnya, kesan tersebut bertentangan dengan propaganda BN bahawa mengatakan GST akan menyebabkan harga barang turun kerana cadangan akta bagi cukai tersebut tidak menghalang kenaikan harga oleh peniaga.

"Apabila GST dilaksanakan, harga barang akan meningkat secara keseluruhannya. Ini bermakna, kos yang ditanggung peniaga – baik kos bahan mentah atau kos perniagaan lain – juga akan meningkat dan mengurangkan keutungan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan timbalan mengeri kewangan Datuk Ahmad Maslan pada 22 Disember lalu yang menyatakan pembangkang akan “gagal dan merana” kerana menyebarkan pembohongan tentang pengenalan GST pada 2015.

Menurut Rafizi pandangan Ahmad itu "cetek" kerana tidak mengambil kira suasana praktikal apabila GST dilaksanakan dan hanya berharap peniaga menurunkan harga secara sukarela.

Beliau berkata sikap BN sama seperti berharap agar pengeluar kereta menurunkan harga secara sukarela tanpa menghapuskan cukai eksais.

"Kenyataan beliau (Ahmad Maslan) bahawa harga akan turun itu bergantung sepenuhnya kepada peniaga menurunkan harga secara sukarela.

"Dalam rang undang-undang GST 2009 yang pernah dibekalkan kepada ahli parlimen, tiada satupun Bahagian atau Fasal yang menyatakan peniaga wajib turunkan harga barang.

"Ini kerana mereka (BN) tahu tidak akan mampu mengawal peniaga dari menaikkan harga barangan masing-masing," kata beliau.

Ahmad yang juga ketua penerangan Umno dalam kenyataannya berkata, kerajaan cuba untuk menurunkan harga barang dengan pengenalan GST sementara PR pula sebaliknya, menolak inisiatif tersebut.

“Mereka akan gagal dan merana kerana berbohong kepada rakyat,” kata Ahmad selepas merasmikan Bengkel Usahawan Melayu Innovatif di Kuala Lumpur lapor the Malaysian Insider.

“Mengapa mereka tidak mahu GST? Kerana akhirnya harga barang akan turun. Apabila harga barang dan perkhidmatan turun, pembangkang tidak mempunyai modal untuk menyerang kerajaan,” katanya.