Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyerahkan kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikan kemelut mengenai pelantikan Ketua Pemuda Umno Pahang.

    

"Saya tidak tahu ada kemelut (mengenai pemilihan Ketua Pemuda Umno Pahang), dari awal hingga akhir memang tidak tahu apa berlaku dan tidak dimaklumkan mengenainya," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu selepas Majlis Sesi Taklimat GST Peringkat Pahang di Kuantan hari ini.

    

Katanya, kekuatan jentera parti bukan hanya bergantung sepenuhnya kepada ketua malah ahli jawatankuasa juga turut boleh berperanan sedemikian.

    

Beliau berkata, banyak juga bahagian boleh melaksanakan tanggungjawab ketika ketiadaan ketua.

    

Dalam laporan sebelum ini, sebahagian daripada Ketua Pemuda Umno Bahagian di Pahang telah menghantar memorandum bantahan kepada Khairy berkenaan pelantikan Ketua Pemuda Bahagian Pekan Shahruddin Ahmad sebagai Ketua Pemuda Umno Pahang.

    

Dalam memorandum itu, mereka sebulat suara meminta supaya Ketua Pemuda Bera Mohd Zoolihsan Ahmad dilantik bagi mengantikan Shahruddin.

- Bernama