mk-logo
Berita
Debat kalimah Allah Noh Omar-Khalid Samad batal
Diterbitkan:  Jan 27, 2014 1:54 AM
Dikemaskini: 4:10 AM

Debat Sinar Harian mengenai isu kalimah Allah antara Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Khalid Samad yang dijadualkan hari ini dibatalkan.

Laman Sinar Online memetik Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abd Jalil Ali berkata, keputusan di saat akhir ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai sudut situasi terkini.

Abd Jalil berkata, pandangan dan nasihat telah disuarakan pelbagai pihak menerusi akhbar, media sosial, e-mel dan surat-surat yang dihantar ke pejabat Sinar Harian .

“Setelah meneliti pandangan dan nasihat daripada tokoh-tokoh agama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga mereka yang prihatin, kami mengambil keputusan untuk membatalkan debat ini,” katanya.

“Kami memahami perasaan dan sentimen umum semasa dan justeru itu kami mengambil keputusan ini,” tegas beliau.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) antara pihak yang menentang perdebatan itu dengan alasan polemik berkaitannya tidak dapat diselesaikan menerusi perdebatan

Jumaat lalu Setiausaha Agung ABIM Muhammad Faisal Abdul Aziz menyerahkan surat kepada pihak akhbar Sinar Harian untuk menyarankan agar penganjuran debat tersebut dibatalkan.

"Isu-isu agama yang melingkari masyarakat seperti ini harus diselesaikan menerusi perbincangan yang melibatkan kumpulan ilmuwan yang sentiasa berlapang dada dan mengambil pendekatan bersederhana dari kelompok kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS