Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

25 Feb 2014

Hari keempat ialah kemuncak konferensi kerana kesemua Speaker Dewan dari Kesatuan Parlimen Negara Islam (PUIC) akan berhimpun dan akan membuat ucapan tentang sikap parlimen negara Islam terhadap isu semasa sama ada di peringkat serantau atau merentas serantau.

Lebih utama konferensi yang akan dihadiri hampir 1,000 perwakilan akan dirasmikan oleh Presiden Iran iaitu Hassan Rouhani ( gambar kanan, berserban ).

Ucapannya dinanti-nantikan untuk mendorong suasana konferensi dan halatuju ucapan para speaker nanti.

Palestin

Isu Palestin tetap mendapat tempat yang utama dalam ucapan-ucapan bersemangat yang didengungkan oleh para speaker dunia Islam walaupun tidak ada yang baru dari segi penyelesaiannya.

Malaysia melalui speakernya Tan Sri Pandekar Amin Mulia menyatakan sikap Malaysia bersama dengan negara Islam lain iaitu “tiada negara Palestin tanpa Quds”.

Sikap kebersamaan dengan tuntutan Palestin adalah sebenarnya sikap dunia Islam keseluruhannya. 

Syria & Iraq

Sepertimana yang saya sebut sebelum ini, isu Iraq dan Syria telah diangkat ke satu tahap baru dengan teori penglibatan Saudi menjadi sebab utama kepada keadaan buruk yang melanda ke dua wilayah ini.

Hampir semua negara terlibat menyatakan dengan terus terang kebimbangan mereka termasuk negara lain yang membuat isyarat akan wujudnya penjajahan baru dengan kata-kata mereka, “dari negara saudara kita sendiri”.

Amat menarik kerana sebelum ini teori konspirasi Amerika dan kuasa Barat menguasai perbahasan tetapi kini penjajahan baru dari kelompok takfir dikatakan didorong dan disokong secara kewangan oleh kerajaan Saudi Arabia.  

Konflik mazhab kini berangkat ke tahap teori penjajahan Saudi.

Ia kini dilihat sebagai konflik kepentingan penguasaan antara Sunni dan Syiah dan Amerika tetap dilihat sebagai pencatur utama dalam apa yang dinamakan kini sebagai “ proxy war ” atau perang secara wakil iaitu Saudi dianggap sebagai proksi Amerika.

Fatwa takfir

Oleh kerana latar belakang keganasan mazhab menjadi asas yang menguasai konflik di Syria dan Iraq, peranan besar yang dimainkan oleh ulama adalah penting.

Oleh kerana itu beberapa siri fatwa takfir telah dikeluarkan oleh ulama salafi dari Arab Saudi khususnya bahawa perang di Syria dan Iraq menentang Syiah adalah jihad dan menggalakkan anak muda untuk mengangkat senjata di sana.

Bahkan bukan hanya sekadar fatwa malah Arab Saudi dikatakan memberi sokongan senjata dan kewangan kepada pejuang-pejuang sunni sana, mereka digelar tentera takfiriyin .

Perbahasan dalam konferensi parlimen negara Islam ini berlegar di sekitar tindak-tanduk dan kesan beberapa fatwa yang menghalalkan darah sesama saudara Islam.

Resolusi Tehran

Berasaskan kepada beberapa perbincangan dalam jawatankuasa pengkhususan yang Malaysia adalah juga salah satu anggota kekal Resolusi Tehran telah diisytiharkan semasa penutupan konferensi.

Antara yang ditegaskan ialah bahaya fatwa takfir yang mencetuskan keganasan antara mazhab dan penghalalan darah sesama Muslim.

Keperluan untuk mencari jalan secara dialog dari semua pihak adalah antara resolusi yang dikeluarkan supaya pihak parlimen negara Islam berusaha menyekat suasana yang memungkinkan sebab kepada keganasan mazhab.

Selain itu menggunakan kekerasan dalam membuat perubahan politik juga ditolak kerana ia akan merugikan penduduk dalam negara Islam sendiri dan semua perubahan hendaklah dibuat melalui cara demokrasi.

Sunni lwn Syiah

Isu ini seolah menguasai suasana perbahasan dan sekaligus membayangkan bahawa wabak penyakit sudah tersebar.

Tidak syak lagi keadaan ini hanya akan menguntungkan kuasa besar ke atas dunia Islam.

Apa yang menyedihkan ialah semua negara mahu dipisahkan dengan sebab permusuhan ini.

Saya memerhatikan bahawa isu Sunni lawan Syiah di Malaysia sudah mula merebak dan melalui media sosial gambaran kekejaman kedua belah pihak yang dipaparkan lebih daripada sensasi daripada satu fakta atau kebenaran.

Umat Islam tidak memerlukan semua ini, apa yang mereka perlukan ialah melihat kepentingan bersama Islam tanpa pengecaman mazhab.

Quran yang satu, Tuhan yang satu dan Nabi yang satu adalah asas kepada benteng perpecahan ini. 

Mesej kedamaian

Kedamaian dan kedaulatan negara Islam adalah asas mesej yang hendak disampaikan dan perlu dijadikan sebagai perjuangan ahli parlimen negara Islam termasuk Malaysia.

Kebebasan memberi pandangan dan kebebasan berbeza pandangan adalah hak yang perlu menjadi budaya demokrasi yang diperjuangkan.

Namun persoalan kewibawaan negara-negara Islam dan pemimpinnya yang akan membawa mesej ini adalah sama pentingnya dengan kekuatan resolusi Tehran 2014.

Inilah yang dibincangkan oleh negara-negara Islam seperti Turki, Iran, Indonesia dan Malaysia yang mana keadaan politiknya dari sudut kestabilan adalah lebih baik berbanding dengan negara Arab dan Afrika.

Negara-negara Arab dan Afrika mengalami pelbagai kocakan dan sesetengahnya menjadi kerajaan yang tidak berfungsi malah pembentukan parlimennya juga sering mengalami kegagalan.

Negara Teluk pula hampir sinonim dengan ruang demokrasi yang sempit malah apa yang berlaku di Bahrain terkini adalah tuntutan suara rakyat yang dinafikan haknya atas asas mazhab.

Syria tidak berfungsi dan Palestin masih belum mencapai kata sepakat antara Hamas dan Fatah.

Apakah resolusi Tehran akan terus menjadi suara retorik seperti sebelumnya dari negara-negara Islam?

Hanya perkembangan peristiwa-peristiwa mendatang akan menjawabnya.


Bahagian I: Kembali ke Iran

Bahagian II: Dingin malam Tehran

Bahagian III: Kenangan makan kebab Bakhtiari, roti Taftun

ADS