Bekas Pengarah Strategi PKR Tuaran, Mohd Fairuz Bandar menasihati pengundi di Kajang dan Balingian agar menolak PKR kerana parti itu hanya tahu menabur janji.

“Dia (PKR) pandai tulis, dia pandai karang apa sahaja, dia boleh karang sampai bulan, sampai langit tetapi sebenarnya dari segi tindakannya, jauh panggang dari api.

"Jadi kepada pengundi Kajang dan Balingian, jangan terpedaya dengan janji-janji palsu PKR ini kerana bagi kita di Tuaran ini sudah merasai betapa peritnya menanggung janji palsu ini," katanya kepada pemberita, di Kota Kinabalu semalam.

Katanya beliau tidak mahu melihat masyarakat di Kajang dan Balingian membuat kesilapan sepertinya.

Jangan biarkan negara ini tergadai disebabkan janji kosong mereka, katanya.|

Terdahulu Mohd Fairuz mengetuai sekumpulan 100 anggota PKR Tuaran menyerahkan borang permohonan menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) kepada Timbalan Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Anggota Parlimen Tuaran.

Proses pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang akan berlangsung pada Ahad ini, manakala Balingian pada 29 Mac.

Kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional dan PKR.

- Bernama