Pasukan penyelamat China yang menaiki sebuah pesawat terbang hari ini mengesan beberapa objek ketika menjalankan operasi di selatan Lautan Hindi.

Pasukan itu mengesan objek demikian dalam operasi besar-besaran mengesan pesawat MH370, yang masih belum ditemui dalam operasi yang masuk hari ke-17.

Ia dikesan di kedudukan 95.1113 timur dan 42.5453 selatan, lapor agensi berita China Xinhua.

Ia menyebut menyebut bahawa pasukan tersebut mengesan dua objek bersaiz besar dan beberapa objek lebih kecil berwarna putih yang terpisah dalam taburan jarak beberapa kilometer.

Taburan objek tersebut terletak dalam kawasan cerapan objek oleh beberapa satelit sebelum ini, menurut laporan tersebut.

Setakat ini masih belum dapat dipastikan dimensi fizikal objek yang dilaporkan bersaiz besar tersebut.

Menurut laporan berkenaan, pasukan China akan menugaskan kapal pemecah ais Xuelong ke lokasi penemuan tersebut.

Pasukan China menyertai operasi besar-besaran ini dengan menggunakan dua pesawat Ilyushin IL-76 bagi operasi di koridor selatan.

Ia merupakan antara 10 buah pesawat yang melakukan operasi di lokasi pencarian yang terletak kira-kira 2,5000km di barat daya Perth.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), pencarian hari ini dibahagikan kepada dua, dalam kawasan sama meliputi keluasan 68,500 kilometer persegi.

Operasi pada peringkat ini juga lebih mencabar dengan keadaan laut bergelora dan juga ancaman siklon Gillian.

Setakat ini, beberapa petunjuk utama ditemui di sekitar kawasan tersebut adalah imej objek yang dikesan oleh satelit Amerika dan Chia serta imej radar dikesan pasukan Perancis.

[Baca berita penuh]