'Tak kucar-kacir selagi pegang al-Quran, sunnah'
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap umat Islam terus menghayati dan mempertingkatkan usaha untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka berteraskan al-Quran.
Titah baginda, umat Islam tidak akan menjadi kucar-kacir dan sesat selagi mereka berpegang kepada dua sumber yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad iaitu al-Quran dan sunnah.
"Masyarakat sesebuah negara yang menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia yang disarankan oleh al-Quran akan hidup dalam keadaan aman, sejahtera, dan menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi serta kemajuan negara," titah baginda semasa merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat negeri 2014 di Kangar malam tadi.
Turut berangkat Raja Perempuan, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Azlan Man.
Baginda bertitah, setiap rakyat harus bersyukur dan sentiasa memohon ke hadrat Allah agar negara berada dalam keadaan aman dan sejahtera serta dilindungi daripada bencana buruk yang semua ini hanya akan dinikmati hasil penghayatan seluas mungkin ajaran Islam dan akhlak murni berteraskan al-Quran.
"Kekuatan, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara adalah terletak sebahagian besarnya kepada kemantapan dan keutuhan akhlak yang baik dan murni yang dimiliki oleh setiap individu kerana tanpa akhlak yang baik sesuatu masyarakat akan menjadi kucar-kacir, huru hara dan rosak binasa," titah baginda.
Johan qari pada kali ini ialah Mawardi Jamaludin yang merupakan johan menanti sementara johan qariah pula milik Sarina Che Yahya.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej umrah, sijil, piala dan hadiah iringan.
Mereka berdua akan mewakili Perlis di majlis tilawah peringkat kebangsaan di Kuantan, Pahang pada 13 hingga 17 Mei ini.
- Bernama

