Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SU PERKASA keluar Umno jika RUU Harmoni diterima
Diterbitkan:  Jun 25, 2014 10:37 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Setiausaha Agung PERKASA Syed Hasan Syed Ali berkata beliau dan ramai lagi akan keluar Umno jika kerajaan menerima cadangan memansuhkan Akta Hasutan dan menerima cadangan rang undang-undang baru menggantikan akta itu.

Katanya, jika kerajaan terus menerima cadangan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) itu, beliau percaya ramai ahlinya dan NGO Melayu Islam lain menolak kerajaan dan kepemimpinan negara sedia ada.

"Kalau kerajaan terima cadangan mansuh Akta Hasutan yang sedia ada dan RUU baru akta hasutan ciptaan MPKN, ahli-ahli PERKASA akan tolak pimpinan negara yang ada.

"Saya sendiri selaku SU (Setiausaha) Agung PERKASA akan keluar Umno. Dan ribuan akan bersama keluar Umno.

"Bukan terjebak mainan MKPN tetapi meluat dengan kebodohan pemimpin Melayu yang sentiasa ikut cadangan pihak yang ada agenda melemahkan Melayu dan umat Islam," katanya.

Dalam kenyataannya semalam, setiausaha agung PERKASA itu mengingatkan kerajaan supaya "jangan terperangkap dengan mainan MKPN" dan mahu melihat penyokong BN meninggalkan parti itu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang MKPN Lim Chee Wee semalam bahawa ancaman seorang pemimpin NGO itu untuk “memancung leher” pihak yang didakwa memperkotak-katik agama dan memperlekeh sultan boleh menjadi kesalahan bawah RUU baru menggantikan Akta Hasutan.

'Ikut telunjuk'

Syed Hasan turut menempelak kerajaan didakwanya "tidak sedar dan asyik diperbodohkan" oleh pihak yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu dan Islam melalui pemansuhan atau pindaan kepada beberapa akta tertentu.

"ISA ikut mansuhkan. Akta Perhimpunan Aman dipinda jadi lintang pukang. Akta Tahanan Terhad dihapuskan.

"Semuanya ikut terlunjuk pihak yang ingin lemahkan kuasa politik Melayu dan pemimpin-pemimpin main ikut sahaja hanya kerana nak dapatkan sokongan palsu," katanya.

Bertegas dengan pendirian mereka sebelum ini yang tidak mengiktiraf MPKN, Syed Hasan membidas dan memperleceh kenyataan Lim itu bahawa ia tidak semestinya diterima kerajaan.

"Ewah....cantik dia punya bahasa. Apa? Dia ingat cadangan MKPN semestinya diterima oleh kerajaan ke? Jangan syok sendirilah....

"MKPN tak ada pun fikir undang2 lebih ketat untuk dikenakan kepada yang perlekehkan Institusi Raja-raja Melayu. Mana ada dia fikirkan undang-undang lebih ketat  untuk dakwa mereka persoalkan hak Melayu dan Islam," katanya.

ADS