BERITA

Tebusan: MP minta bayar, menteri kata 'tidak'

Ram Anand & Zikri Kamarulzaman

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Nov 2014, 8:43 pagi

Anggota parlimen PKR Laksamana Pertama (B) Imran Abdul Hamid berkata, kerajaan patut membayar RM6 juta bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Selatan Filipina untuk lebih lima bulan.

Wakil rakyat Lumut itu berkata, sudah ramai anggota parlimen Pakatan Rakyat menggesa kerajaan bertindak menyelesaikan kes melibatkan seorang anggota polis dan pemilik tempat ternakan ikan.

"Kalau dia katakan satu nyawa RM3 juta, dua nyawa RM6 juta, apalah sangat?" soal Mohamed Imran pada sidang media di Parlimen.

"Kita boleh belanja berbilion ringgit untuk benda lain. Kenapa tak boleh selamatkan dua nyawa dengan RM6 juta?” soalnya lagi.

Tiada dasar bayar tebusan

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menolaknya.

Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman, Zahid berkata, kerajaan mempunyai dasar tidak melayan sebarang tuntutan tebusan, walaupun untuk pegawai polis.

Zahid berkata, kementeriannya terpaksa mempertahankan pendirian itu, walaupun salah seorang daripada isteri mangsa dan ibu bapanya datang meminta bantuan kepada beliau.

Bagaimanapun, katanya, usaha untuk menyelamatkan dua tebusan itu sedang berjalan tetapi beliau tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci buat masa ini.

Sebelum itu, Chin Pek Nyuen, isteri kepada penternak ikan yang diculik Chan Sai Chiun, tampil di parlimen untuk kali kedua dalam dua minggu.

Walaupun sudah merayu kepada kerajaan melalui memorandum minggu lalu, Chin masih menerima panggilan hampir setiap hari daripada penculik, yang menuntut wang tebusan RM3 juta untuk Chan sahaja.

Penculik memberi tarikh akhir baru 30 November untuk membayarnya atau Chan akan dibunuh.

Anggota parlimen Penampang Darrell Leiking daripada PKR juga mempersoal tindakan polis tidak mengesan atau memantau panggilan telefon walaupun ia dibuat hampir setiap hari.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.