PAS diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya benar dakwaan parti itu mempunyai dokumen kononnya Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyalahgunakan wang Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk pilihanraya umum yang lalu.

Dalam pilihanraya tersebut, Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanding di kerusi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas. Mustapa, yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif MTEN, memenangi kedua-dua kerusi tersebut.

Sumber-sumber yang rapat dengan Mustapa berkata tidak logik sekiranya PAS mendakwa wujudnya ' perundingan ' di antara Umno dan PAS berhubung petisyen pilihanraya di tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri di Kelantan, kerana memiliki dokumen tersebut.

"Memang tidak logik sekiranya PAS pula mahu menyelamatkan Tok Pa. Tidak mungkin... sekiranya parti itu benar-benar memiliki dokumen seperti yang didakwanya, buatlah laporan kepada pihak-pihak berkenaan, seperti polis dan Badan Pencegah Rasuah," katanya kepada malaysiakini .

"Kalau perkara itu benar-benar berlaku, sudah tentu Tok Pa akan hilang jawatan menterinya, jawatan dalam Umno dan sebagainya... apakah PAS tidak mahu ini semua berlaku terhadap Tok Pa," tambahnya.

Menurut sumber-sumber itu, sebelum ini pemimpin PAS membuat pelbagai laporan polis dan laporan kepada BPR terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang lain.

"Tetapi pelik pula, mereka tidak berbuat demikian terhadap Tok Pa walaupun mereka mendakwa mempunyai dokumen yang boleh membukti dakwaan mereka itu," katanya.

Oleh itu, sumber-sumber itu juga menolak dakwaan kononnya berlaku perundingan di antara kedua-dua parti itu - PAS dan Umno - berhubung petisyen-petisyen pilihanraya yang dibawa ke mahkamah di Kelantan.

Tiada bukti

Katanya, kecuali kerusi Parlimen Pasir Puteh , petisyen-petisyen lain ditolak selepas mahkamah mendapati pihak-pihak (Umno dan PAS) yang mengemukakannya tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh untuk menyokong permohonan mereka," tambahnya.

Dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah mengisytiharkan calon BN Che Min Che Ahmad ( kiri ) sebagai pemenang kerusi Parlimen Pasir Puteh.

Dalam pilihanraya umum yang baru lalu, kerusi tersebut sebenarnya dimenangi oleh BN tetapi pengurus pilihanraya telah membuat kesilapan teknikal dengan mengiystiharkan calon PAS Kalthom Othman sebagai pemenangnya dengan majoriti 3,810 undi

Calon PAS itu telah diisytiharkan memperolehi 27,018 undi manakala calon BN, Che Min Che Ahmad mendapat 23,208 undi.

Mahkamah bagaimanapun menolak kesemua sembilan lagi petisyen yang dikemukakan oleh kedua belah pihak. Dua lagi kerusi Parlimen terbabit ialah Bachok dan Jeli. Manakala kerusi negeri ialah Chempaka, Kota Lama, Kadok, Kemuning, Air Lanas, Jelawat dan Mengkebang.

"Macam kita sendiripun, sekiranya kita mempunyai bukti seperti itu terhadap pemimpin-pemimpin tertinggi PAS, sudah pasti kita akan pendedahan mengenainya," tambah sumber-sumber itu.

Malaysiakini

difahamkan bahawa dokumen yang dimaksud oleh PAS itu merupakan sepucuk surat mengandungi tulisan tangan, yang didakwa oleh Mustapa, yang menggunakan kepala surat MTEN, bertarikh 18 Mac lalu.

Antara lain, kandungan surat tersebut menyebut tentangan sumbangan untuk membantu kempen pilihanraya di Parlimen Jeli, DUN Air Lanas, Kuala Balah dan Bukit Bunga.